RM100 juta laksana PACE, pacu pembangunan modal insan negara

RM100 juta laksana PACE, pacu pembangunan modal insan negara

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan inisiatif nasional baharu iaitu Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) bagi memperkukuh pembangunan modal insan negara.

Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) itu dirangka bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja selain memastikan rakyat memiliki kemahiran selaras dengan keperluan industri semasa dan masa depan.

Katanya, langkah tersebut juga dilihat mampu memperkukuh daya saing negara di peringkat global menerusi pembangunan tenaga kerja yang lebih berkemahiran dan berdaya tahan.

“PACE bukan sekadar program latihan biasa, sebaliknya merupakan pelaburan besar kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja masa depan yang lebih berkemahiran tinggi serta mampu memenuhi tuntutan ekonomi baharu yang dipacu teknologi dan inovasi.

“Inisiatif ini dirangka secara menyeluruh dengan memberi fokus kepada pembangunan bakat, latihan kemahiran, transformasi tenaga kerja dan penciptaan peluang ekonomi yang lebih inklusif kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pengumuman rasmi inisiatif berkenaan yang dilaksanakan dengan sokongan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras aspirasi Malaysia Madani untuk memperkasa pembangunan insan dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pekerjaan berkualiti.

Ramanan berkata, sebanyak 10 program strategik akan diperkenalkan menerusi PACE melibatkan pelbagai bidang termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pembangunan bakat belia, transformasi ekonomi digital, pengukuhan perusahaan tempatan, pembangunan wilayah serta peningkatan kebolehpasaran pekerja gig dan komuniti inklusif.

Katanya, pendekatan yang dilaksanakan menerusi PACE memberi penekanan terhadap pelaburan bersasar bagi memastikan setiap program mampu memberikan impak jelas serta boleh diukur kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Program ini turut dirangka untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif, inovatif dan bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan masa depan.

“Kerajaan Madani komited memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara. Melalui PACE, kita mahu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran, memperkukuh pendapatan dan membina masa depan lebih baik untuk diri serta keluarga mereka,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan modal insan menjadi asas penting dalam memastikan Malaysia terus bergerak sebagai negara berpendapatan tinggi yang kompetitif dan mampan.

Katanya, Kesuma yakin pelaksanaan PACE mampu menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga kerja negara sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat dan kemahiran utama di rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN