Polis Johor serbu 'Lunar Club', 213 GRO warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Polis Johor serbu ‘Lunar Club’, 213 GRO warga asing ditahan

Hoo Chuan Huat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan sebuah pusat hiburan di bandar raya ini yang menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing mengundang padah apabila premis tersebut diserbu polis dalam satu operasi khas pada 3 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner (DCP) Hoo Chuan Huat berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 2.30 pagi itu membawa kepada penahanan seramai 217 individu termasuklah 213 GRO warga asing di pusat hiburan bernama ‘Lunar Club’.

Katanya, 213 wanita warga asing serta tiga lelaki tempatan yang ditahan berusia antara 19 hingga 45 tahun dipercayai bekerja di premis berkenaan.

“Manakala seorang lagi lelaki tempatan ditahan kerana mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan kes dadah.

“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas dua telefon bimbit, 10 keping kertas catatan jualan kalung bunga serta dua buah mesin e-wallet,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati kesemuanya negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Semakan lampau pula mendapati tiga lelaki tempatan ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah, manakala semua wanita warga asing yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Pemilik premis akan dituduh di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 serta Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premis.

“Manakala 103 wanita asing akan didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, sembilan orang di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, manakala dua lagi di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN