Pickleball Antarabangsa Skechers 2026 berlangsung meriah

Pickleball Antarabangsa Skechers 2026 berlangsung meriah

BEKAS pemain skuasy negara, Delia Arnold (tiga dari kiri) turut memeriahkan Kejohanan Pickleballa Antarabangsa Skechers - Edisi Malaysia 2026 di Subang Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persaingan sengit membabitkan kira-kira 30 perlawanan dalam lapan kategori memeriahkan Kejohanan Pickleball Antarabangsa Skechers – Edisi Malaysia 2026 yang berlangsung baru-baru ini di Subang Jaya.

Kejohanan berkenaan mempertandingkan acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki, wanita serta beregu campuran dengan semua keputusan direkodkan menerusi sistem DUPR bagi menyumbang kepada ranking dunia pemain selain mata kelayakan Kejohanan Pickleball Dunia.

Dalam kategori perseorangan lelaki terbuka 19+, Phoenix He menampilkan aksi cemerlang untuk muncul juara sekali gus membawa pulang RM1,700 serta sepasang kasut eksklusif Skechers Viper Court Pro.

Dua lagi tempat di podium menjadi milik Dylan Ooi dan Muhammad Aiman Hamdan yang masing-masing mempamerkan saingan kompetitif sepanjang kejohanan.

Bagi kategori perseorangan wanita terbuka 19+, Jas Almaguer muncul juara selepas aksi konsisten ditampilkan sepanjang kejohanan, manakala Angie Bong dan Virvienica Bejosano masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Saingan beregu lelaki terbuka 19+ pula menyaksikan pasangan Marco Leung-Vanshik Kapadia muncul juara untuk membawa pulang RM3,500 bersama dua pasang kasut Viper Court Pro.

Kategori beregu campuran terbuka 19+ dimenangi pasangan Man Kwan Wun-Syed Uzair Sufi yang turut menerima ganjaran sama, manakala kategori 35+ bagi beregu lelaki dan beregu campuran masing-masing menawarkan hadiah RM3,000.

Tumpuan turut terarah kepada kategori remaja bawah 18 tahun yang diperkenalkan buat kali pertama apabila Dzarif Dzakwan B Azizul Azhar mencipta kejayaan berganda selepas menjuarai acara perseorangan lelaki serta beregu bawah 18 tahun bersama adiknya, Dzikri Dzakwan B Azizul Azhar.

Kejohanan berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Tomaz Pickleball Club selaku rakan venue rasmi selain dianjurkan oleh The Ultimate Pickleballers.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Skechers Malaysia, Stephanie Chang berkata pengenalan kategori remaja menjadi antara elemen paling signifikan dalam edisi kali ini.

“Pickleball di Malaysia bukan lagi sukan untuk satu generasi sahaja, sebaliknya kini menghimpunkan pemain daripada pelbagai peringkat umur. Kami mahu kejohanan ini mencerminkan perkembangan itu.

“Kami berharap semua pemain yang hadir pulang dengan inspirasi tersendiri tanpa mengira tahap perjalanan mereka dalam sukan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN