PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah dikejutkan pasangan ke-105 dunia, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kalllang, SIngapura hari ini.
Pearly-Thinaah yang tampil buat kali pertama selepas berehat selama lebih sebulan tumpas straight set kepada pasangan adik beradik dari Thailand itu 16-21, 19-21 dalam masa 37 minit.
Terbuka Singapura merupakan penampilan sulung beregu No. 1 Malaysia itu, selepas Pearly yang kelihatan masih belum cergas sepenuhnya pulih daripada kecederaan belakang.
Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan Pearly-Thinaah berdepan Benyapa-Nuntakarn kini menjadi 2-1.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki yang menyaksikan pertembungan dua wakil Malaysia berkesudahan Goh Sze Fei-Nur Izzzuddin Mohd Rumsani menewaskan Arif Junaidi-Yap Roy King 23-21, 16-21, 21-8 dalam masa 52 minit.
Sze Fei-Izzuddin yang kini menghuni ranking No. 8 dunia semakin melebarkan jurang rekod pertemuan ke atas Arif-Roy King kepada 4-0.
Pada suku akhir, esok, beregu profesional negara itu akan berdepan ujian sebenar menentang gandingan handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang berada di ranking No. 3 dunia.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua beregu berkongsi kedudukan 1-1 dengan pertembungan terakhir pada China Masters, tahun lalu berpihak kepada Fajar-Fikri.
Sze Fei-Izzuddin pula mengalahkan pilihan ketiga itu dalam suku akhir Terbuka Jepun yang juga berlangsung pada tahun lepas. – UTUSAN










