KUALA LUMPUR: Malaysia menepati ramalan apabila melangkah ke pentas final acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mengharungi pertarungan mendebarkan menewaskan Vietnam 2-1 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad sepak takraw negara menyempurnakan satu daripada tiga misi utama yang diletakkan, namun kemenangan tersebut tidak hadir dengan mudah apabila barisan negara dipaksa bekerja keras hingga ke set penentuan.
Kuadran negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shaharil Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi memulakan aksi dengan penuh meyakinkan apabila menguasai set pertama 15-10.
Anak buah Ahmad Jais Baharun bagaimanapun menerima tentangan sengit daripada Vietnam yang diperkuatkan Nguyen Hoang Lan, Vuong Minh Chau, Nguyen Van Ly dan Huynh Ngoc Sang.
Pasukan lawan bangkit memperkemaskan rentak untuk mencuri set kedua 15-12 sekali gus mengheret aksi ke penentuan getir.
Detik cemas menyelubungi kem negara pada set terakhir apabila Vietnam terlebih dahulu mendahului permainan sebelum tekanan semakin memuncak ketika kedudukan terikat 14-14.
Namun pengalaman dan ketenangan pemain negara akhirnya menjadi pemisah apabila Malaysia mengutip tiga mata terakhir untuk menutup saingan dengan kemenangan 17-14.
Kemenangan dramatik itu mengesahkan slot Malaysia ke final, sekali gus membuka peluang untuk memburu gelaran apabila bakal berdepan India sekali lagi yang lebih awal menyingkirkan Myanmar 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Kini, tumpuan beralih kepada satu lagi misi lebih besar sekaligus memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri diterjemahkan kepada kejuaraan.-UTUSAN










