KUALA LUMPUR: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus membakar semangat penyokong tuan rumah apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 selepas menyingkirkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi di Unifi Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu bagaimanapun dipaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 21-17, 16-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit pada aksi suku akhir yang mendebarkan.
Selepas menguasai set pertama, Sze Fei-Izzuddin hilang sedikit momentum sehingga memberi ruang kepada pasangan Jepun bangkit mengheret perlawanan ke set penentuan.
Namun, pasangan negara kembali memperkemaskan permainan menerusi corak lebih agresif dan konsisten sebelum memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.
Izzuddin mengakui mereka berdepan tekanan hebat sepanjang perlawanan namun berjaya mengawal situasi dengan baik ketika mata-mata kritikal.
“Memang satu perlawanan yang sangat sukar hari ini tetapi kami berjaya mengendalikan tekanan dengan baik.
“Sokongan penyokong di gelanggang juga memberi tekanan besar kepada pihak lawan dan itu banyak membantu kami,” kata Izzuddin kepada pemberita di sini, sebentar tadi.
Izzuddin turut menegaskan mereka sudah bersedia menghadapi jadual padat selepas turut mara ke separuh akhir Terbuka Thailand minggu lalu.
“Kami memang sudah bersedia untuk kejohanan berturut-turut seperti ini dan dalam kejohanan pun kami masih menjalani latihan.
“Kami tidak mahu terlalu memikirkan soal separuh akhir atau penebusan semula, sebaliknya hanya mahu fokus satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.
Kemenangan tersebut turut menyalakan peluang pertembungan sesama wakil Malaysia di separuh akhir sekiranya beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi yang sudah turun ke gelanggang ketika ini. – UTUSAN










