JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan ditahan bagi selepas disyaki terlibat dalam satu kejadian mencabul melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Bandar Seri Alam, di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, tangkapan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada ibu mangsa, pada hari sama pukul 9 malam.
“Pengadu merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 37 tahun yang melaporkan bahawa kejadian cabul tersebut sebenarnya telah berlaku sekitar tahun 2025 yang lalu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah digerakkan ke lokasi sebelum suspek seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun berjaya ditangkap pada pukul 10.30 malam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Chuan Huat, ujian urin yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan lampau mendedahkan lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
“Polis akan memohon perintah reman bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Terdahulu, insiden itu tular di media sosial melalui akaun Facebook ‘Mohd Fadli Salleh’.










