KUALA LUMPUR: Hasrat untuk melihat pemain perseorangan wanita melayakkan diri ke separuh akhir tidak kesampaian, selepas wakil tunggal negara, K. Letshanaa terkandas di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-32 dunia itu tunduk dalam permainan tiga set kepada wakil Jepun yang berada di ranking No. 24 dunia, Hina Akechi 21-19, 12-21, 10-21 dalam masa 57 minit.
Kekalahan tersebut membuka laluan kepada pemain muda Jepun itu mengatasi Letshanaa dengan rekod pertemuan 1-0.
Anak jati Selangor itu kini sudah boleh mengalihkan fokusnya kepada Terbuka Singapura, minggu depan, yang memiliki status lebih tinggi berbanding Malaysia Masters iaitu Super 750.
Standard tinggi tersebut bakal menemukan Letshanaa dengan bintang No. 4 dunia, Chen Yu Fei dari China seawal peringkat 32 terbaik.
Selepas ini, cabaran lebih besar menanti pemain muda Malaysia itu memandangkan Letshanaa kini berada dalam kelompok 32 terbaik dunia dengan bintang handalan menantinya pada masa depan. – UTUSAN










