KL City, Negeri Cembilan kongsi mata di Cheras

KL City, Negeri Cembilan kongsi mata di Cheras

PEMAIN Negeri Sembilan FC, Hadin Azman diasak penyerang KL City FC, Safawi Rashid pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi-IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aksi penuh drama mewarnai Stadium Bolasepak Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur(KL) City FC terlepas kemenangan di depan mata selepas diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan FC dalam perlawanan yang dicemari tiga sepakan penalti dan dua kad merah, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad City Boys kekal selesa di tangga keempat Liga Super, namun Negeri Sembilan pula boleh dianggap hampir mengucapkan selamat tinggal kepada impian memburu kedudukan keenam apabila kini ketinggalan lima mata di belakang Imigresen FC dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ke-16 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol KL City, Quincy Kammeraad menjatuhkan penyerang import, Joseph Esso.

Walaupun percubaan awal Ahmad Khuzaimi Piee berjaya ditepis Kammeraad, kapten Negeri Sembilan itu pantas menyambar bola muntah untuk meledak gol pembukaan.

KL City bagaimanapun tidak menunggu lama untuk bangkit. Sembilan minit kemudian, pengadil Razlan Joffri Ali menunjuk ke titik putih selepas semakan VAR mendapati rembatan Kpah Sherman terkena tangan Khuzaimi di dalam kotak penalti.

Victor Ruiz tidak mensia-siakan peluang apabila mudah menewaskan penjaga gol lawan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Momentum itu terus memihak kepada tuan rumah dan Nicolao Cardoso meletakkan KL City di depan 2-1 menerusi jaringan pada minit ke-38 sekali gus menghadiahkan kelebihan buat City Boys sebelum rehat.

Ketika kemenangan dilihat hampir menjadi milik KL City, drama baharu tercetus pada minit ke-81 apabila Negeri Sembilan sekali lagi dihadiahkan penalti selepas Giancarlo Gallifuoco didakwa mengasari Esso.

Oday Kharroub tenang menyempurnakan sepakan untuk menghidupkan semula harapan skuad Jang sekali gus memastikan mereka membawa pulang satu mata berharga dari ibu kota.

Situasi menjadi semakin tegang sebaik penalti itu diberikan apabila beberapa pegawai KL City membantah keputusan pengadil sehingga salah seorang daripada mereka dilayangkan kad merah.

Malah, pengendali KL City, Risto Vidakovic turut menerima nasib sama beberapa minit kemudian dan bakal terlepas aksi terakhir liga menentang Kuching City di Stadium Negeri, Ahad ini.

Negeri Sembilan pula akan menutup kempen Liga Super dengan melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN