Johor cuti peristiwa Isnin, rai JDT menang Piala Malaysia - Utusan Malaysia

Johor cuti peristiwa Isnin, rai JDT menang Piala Malaysia

ONN Hafiz Ghazi (kiri) bergambar bersama Tunku Mahkota Ismail selepas JDT menewaskan Kuching City FC 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengisytiharkan hari Isnin depan sebagai Hari Cuti Peristiwa sempena meraikan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2025/26.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengumuman cuti tersebut mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selepas skuad Harimau Selatan menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi final, malam tadi.

Menurut beliau, kepimpinan, komitmen serta usaha berterusan baginda dalam memartabatkan sukan bola sepak sehingga JDT terus menjadi kebanggaan di persada dunia amat disanjungi.

“Kejayaan bermakna ini merupakan manifestasi daripada semangat kental barisan pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan yang mempamerkan mutu permainan tinggi sepanjang musim ini.

“Kemenangan ini adalah hadiah buat rakyat Johor dan penyokong setia JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan dalam suka mahupun duka di setiap perlawanan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap kecemerlangan tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.

Dalam perlawanan semalam, gol JDT dijaringkan Guilherme De Paula dan Arif Aiman Hanapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN