ALOR SETAR: Pasukan Liga Super, Imigresen FC (IFC) bakal melalui proses penjenamaan semula menjelang musim depan dalam usaha membentuk identiti baharu yang lebih dekat dengan penyokong di utara tanah air.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengumuman rasmi mengenai nama dan identiti baharu pasukan akan dibuat dalam masa terdekat selepas segala proses berkaitan dimuktamadkan.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi membina kekuatan jenama pasukan selain memperluaskan sokongan peminat khususnya di Kedah dan Perlis.
“Kita akan perkenalkan satu nama pasukan yang baharu sebagai penjenamaan semula kepada IFC ini. Penjenamaan ini adalah satu daripada cara kami untuk mewujudkan satu identiti baharu bagi pasukan ini.
“Ia agar lebih sesuai terutama kerana kita bermain di zon utara. Utara ini kedah tak ada pasukan, Perlis pun tak ada pasukan jadi kalau kita boleh posisikan dengan satu identiti yang baharu saya percaya kita akan dapat membina kumpulan penyokong yang lebih besar, lebih meriah. Itu sasaran kami,” ,” katanya selepas Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super IFC, di sini malam tadi.
Saifuddin yang juga Penaung IFC berkata, musim sulung pasukan itu dalam pentas Liga Super dianggap membanggakan apabila berjaya berada dalam kelompok terbaik liga walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang musim.
Katanya, berbaki satu perlawanan, IFC sekurang-kurangnya sudah mengesahkan kedudukan keenam liga dan masih berpeluang menamatkan saingan di tangga kelima bergantung kepada keputusan beberapa perlawanan lain.
“Kira-kira setahun lalu ketika peluncuran pasukan ini, saya pesan kepada jurulatih, saya tidak mahu letakkan tekanan. Saya cuma mahu pasukan dibina sebaik mungkin. Dan hari ini, musim sulung kami menyaksikan pasukan berada pada kedudukan terbaik sama ada nombor lima atau enam. Saya bangga dengan pemain, jurulatih dan pasukan kejurulatihan,” katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan juga berjaya menguruskan aspek logistik serta tajaan pasukan seperti dirancang selain hampir melengkapkan tajaan bagi musim depan.
Ujarnya, persiapan musim baharu sudah bermula walaupun saingan liga belum berakhir sepenuhnya dengan beliau meminta barisan kejurulatihan serta pengurusan tertinggi supaya menggunakan tempoh off-season bagi memperkemas pasukan dan menyusun persiapan lebih awal.
“Off-season bukan masa untuk berehat. Persiapan perlu berjalan dan saya percaya jurulatih sudah menyusun jadual bagi memastikan musim depan pasukan tampil lebih membanggakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui IFC turut berdepan cabaran berkaitan venue apabila terpaksa menggunakan beberapa stadium berbeza sepanjang musim termasuk di Batu Kawan dan Kangar.
Bagaimanapun katanya, isu berkenaan akan diuruskan dengan lebih baik bagi memastikan fokus pasukan tidak terjejas pada musim depan, sain turut tidak menolak kemungkinan menjadikan Kedah sebagai gelanggang sendiri pasukan selepas ini.
Menyentuh soal ganjaran kepada pemain, beliau berkata, pihak pengurusan akan mempertimbangkan pemberian bonus sebagai penghargaan terhadap komitmen tinggi dipamerkan sepanjang musim.-UTUSAN










