TEL AVIV: Israel mendakwa membunuh ketua baharu sayap bersenjata Hamas di Gaza, Mohammed Odeh, selepas kematian pendahulunya awal bulan ini walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Mohammed merupakan ketua keempat Briged Ezzadine al-Qassam yang didakwa dibunuh Israel sejak perang Gaza bermula.
Dalam kenyataan bersama, tentera Israel dan agensi keselamatan domestik Shin Bet mendakwa Mohammed terbunuh pada Selasa, sambil menyatakan beliau dilantik mengetua briged itu selepas pembunuhan Ezzedine al-Haddad pada 15 Mei lalu.
Dalam kenyataan yang mengesahkan Mohammed sebagai ketua kakitangannya, sayap bersenjata Hamas berkata, beliau terbunuh dalam serangan Israel pada malam Selasa.
“Dengan penuh rasa bangga, hormat dan bermaruah, Briged Ezzedine al-Qassam mengumumkan kesyahidan salah seorang pemimpin utama pejuang Palestin,” menurut kenyataan itu.
Hamas turut mendakwa Mohammed terbunuh dalam operasi pembunuhan kejam yang turut mengorbankan isteri dan anaknya.
Seorang pegawai Hamas memberitahu AFP, tiga anak Mohammed turut terbunuh, termasuk dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun.
Pengebumian Mohammed dan ahli keluarganya berlangsung pada Rabu di Bandar Gaza dengan kehadiran ratusan penduduk yang berkabung, lapor wartawan AFP.
Sepupu mangsa, Bassem Abu Odeh, memberitahu AFP Mohammed dan keluarganya ‘sedang bersiap menyambut Aidiladha, namun sebaliknya rejim Zionis menyerang mereka dengan peluru berpandu’.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata Mohammed kini ‘dihantar untuk bertemu rakan-rakannya di dasar neraka’.
Mohammed sebelum ini mengetuai perkhidmatan risikan Hamas dan merupakan antara pemimpin kanan kumpulan itu yang masih hidup di Gaza.
Pada Rabu malam, tentera Israel berkata, pihaknya ‘menyerang dua pejuang utama Hamas di utara Semenanjung Gaza’, dengan media Israel melaporkan sasaran serangan itu ialah seorang komander briged Hamas dan timbalannya.
Agensi pertahanan awam Gaza yang berfungsi sebagai pasukan penyelamat di bawah Hamas berkata, 10 orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan di tengah Bandar Gaza.
Sumber perubatan mengesahkan lima daripada mangsa yang maut adalah kanak-kanak.










