KUALA LUMPUR: Seramai enam orang termasuk pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini sehingga 10 Mei 2029.
Selain beliau, turut mengangkat sumpah ialah Pengerusi Kebangsaan Wanita MCA, Datuk Wong You Fong; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali; Penolong Setiausaha DAP Sarawak, Larry Asap dan bekas Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), R. Thiagarajah.
Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Awang Bemee berkata, enam Senator turut dilantik semula oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menjadikan keseluruhan 13 orang.
Beliau berkata enam yang dilantik semula IALAH Abdul Nasir Idris, Isiah D. Jacob, Tan Sri Low Kian Chuan, Datuk Seri Prof Emeritus Dr. Awang Sariyan, Mohd. Hasbie Muda dan Abun Sui Anyit.
Katanya, Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli pula dilantik semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Awang Bamee berkata, majlis itu adalah memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara selain manifestasi kelangsungan institusi demokrasi berparlimen negara.
“Bagi pihak Dewan Negara, dirakamkan setinggi-tinggi tahniah dan dialukan pelantikan serta pemilihan semula Yang Berhormat Senator yang telah mengangkat sumpah hari ini. Selamat berkhidmat,” katanya.
Tambahnya, pelantikan ahli Dewan Negara oleh Sultan Ibrahim adalah merangkumi pelbagai latar belakang, kepakaran, pengalaman dan kelompok masyarakat selaras Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan ini melihatkan kerangka perlembagaan yang memastikan suara negeri-negeri, wilayah-wilayah Persekutuan serta pelbagai lapisan masyarakat diwakili dalam lagistit tertinggi negara.
“Dewan Negara bukan sahaja menjadi medan penggubalan undang-undang tetapi wadah perbahasan yang matang, berhemah dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara,” katanya. – UTUSAN









