Bangkai penyu jantan ditemukan terdampar di Pantai Pengkalan Balak

Bangkai penyu jantan ditemukan terdampar di Pantai Pengkalan Balak

BANGKAI penyu karah jantan ditemui di Pantai Pengkalan Balak oleh orang awam petang semalam. - IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seekor bangkai penyu karah jantan ditemukan terdampar di pesisir Pantai Pengkalan Balak oleh orang awam kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, penyu tersebut dikenal pasti sebagai Penyu Karah (Eretmochelys imbricata), iaitu antara spesies penyu marin yang dikategorikan sebagai terancam kritikal.

Penyu berkenaan dianggarkan berumur antara 10 hingga 15 tahun berdasarkan saiz karapas dengan ukuran 80 sentimeter panjang dan 72 sentimeter lebar.

“Hasil pemeriksaan mendapati penyu berkenaan tidak mempunyai tag pengenalan dan dipercayai mati akibat tersangkut pada jaring dan keadaan bangkai juga menunjukkan sebahagian karapas telah tercabut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan segera diambil anggota Jabatan Perikanan Melaka yang terdiri daripada Hanis (MySTEP) bersama beberapa intern bagi menguruskan bangkai penyu tersebut.

“Proses penanaman bangkai penyu selesai dijalankan kira-kira pukul 3.45 petang di lokasi penemuan bagi mengelakkan pencemaran serta menjaga kebersihan kawasan pantai,” katanya.

Penyu karah merupakan spesies yang dilindungi dan diklasifikasikan sebagai Critically Endangered oleh International Union for Conservation of Nature berikutan ancaman kepupusan yang semakin serius.

Cangkerangnya sering menjadi sasaran perdagangan haram untuk dijadikan barangan perhiasan.

Masyarakat diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penangkapan atau perdagangan spesies ini yang turut dilarang di bawah Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora.

Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang kejadian kedamparan atau ancaman terhadap hidupan marin demi memastikan kelestarian spesies penyu di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN