AS ugut sekat ekonomi Oman jika kutip tol di Selat Hormuz

AS ugut sekat ekonomi Oman jika kutip tol di Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent pada Khamis mengeluarkan amaran keras menyasarkan sekutu kuatnya, Oman sekiranya negara Teluk itu membantu melaksanakan sistem kutipan tol di laluan maritim strategik, Selat Hormuz.

Bessent turut memberi amaran tindakan tegas berserta sekatan ekonomi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pelan berkenaan.

“Oman secara khususnya perlu tahu Jabatan Perbendaharaan AS akan menyasarkan secara agresif mana-mana pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam mempermudah kutipan tol di Selat tersebut dan mana-mana rakan sekongkol akan dihukum,” tegas Bessent menerusi satu hantaran di platform X.

Beliau menyatakan bahawa Washington tidak akan bertoleransi terhadap sebarang usaha untuk mengenakan sistem kutipan tol di Selat Hormuz. Kenyataan itu merujuk kepada cadangan Iran untuk melaksanakan kutipan berkenaan sebagai sebahagian daripada perjanjian berpotensi dengan AS.

Selat Hormuz yang merupakan laluan utama bagi hampir satu perlima daripada bekalan tenaga dunia, telah menjadi titik konflik yang meruncing sejak AS dan Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran pada akhir Februari lalu.

Tindakan balas oleh Tehran telah mencetuskan pergolakan hebat di rantau tersebut, menyaksikan penutupan hampir sepenuhnya selat berkenaan oleh Iran sekali gus menyebabkan harga tenaga dan baja global melonjak naik.

Oman sebelum ini memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam konflik berkenaan, namun wilayahnya sendiri turut menjadi sasaran serangan dari Iran.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump turut membayangkan ancaman keras terhadap Oman apabila ditanya mengenai kemungkinan wujudnya pelan jangka pendek yang membenarkan negara itu dan Iran mengawal Selat Hormuz. Trump menegaskan beliau akan menyerang mereka sekiranya Muscat meneruskan langkah tersebut.

Pihak Rumah Putih bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera ketika ditanya oleh agensi berita AFP sama ada Trump tersalah cakap atau sebenarnya berniat merujuk kepada Iran dan bukannya Oman.

Amaran terbaharu daripada Bessent itu menyusul beberapa jam selepas Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas Lembaga Selat Teluk Parsi Iran, iaitu agensi baharu dibentuk Teheran yang bertanggungjawab mengutip yuran transit di selat tersebut.

Washington kini memperluas ancaman sekatan kepada mana-mana pihak atau syarikat perkapalan yang membayar yuran berkenaan atas alasan mereka mungkin memberikan sokongan dan menerima perkhidmatan daripada Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), sekali gus mendedahkan diri mereka kepada risiko sekatan ekonomi AS. -AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN