LONDON: Arsenal tiada pilihan selain menang dalam baki tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan peluang menjulang kejuaraan terus terbuka.
The Gunners bakal melayan kunjungan Fulham dalam aksi liga di Stadium Emirates, tengah malam ini dengan misi utama untuk mengekalkan kedudukan di puncak liga.
Skuad kendalian Mikel Arteta kini menghuni tangga teratas dengan 73 mata, namun tekanan semakin memuncak ketika saingan musim memasuki fasa penentuan, di mana Manchester City terus mengejar Arsenal.
Beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada Arsenal, namun mereka dijangka berdepan cabaran sengit daripada Fulham yang masih mengintai peluang untuk layak ke pentas Eropah.
Fulham yang kini berada di tangga ke-10 liga masih mempunyai empat perlawanan berbaki dan peluang tersebut cukup realistik jika mereka mampu mencuri mata berharga di Emirates.
Tambahan pula, Arsenal mungkin berdepan isu keletihan selepas aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid yang berkesudahan 1-1, sekali gus membuka ruang buat pelawat mencuri kesempatan.
Arteta bagaimanapun menegaskan pasukannya bersedia menghadapi cabaran tersebut dan tidak akan memandang mudah ancaman Fulham.
“Kita perlu kekal fokus dan bersedia dari segi fizikal serta mental. Setiap perlawanan sekarang sangat penting dan kita tahu apa yang perlu dilakukan.
“Mungkin akan ada beberapa perubahan pemain dalam kesebelasan utama berbanding ketika menentang Atletico. Kita akan menilai setiap pemain dan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menang,” kata Arteta.
Bagi pemain tengah Fulham, Josh King memberi bayangan bahawa pasukannya akan tampil tanpa rasa gentar walaupun berdepan pendahulu liga.
“Kami akan turun tanpa rasa takut dan akan bermain bermati-matian untuk meraih keputusan positif,” katanya.
Aksi ini dijangka berlangsung sengit dengan Arsenal mahu mengukuhkan cengkaman di puncak, manakala Fulham pula bertekad untuk terus menghidupkan peluang ke saingan Eropah musim depan.-AGENSI










