PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan negara menerusi Talentbank Graduate Employability Index, satu penilaian nasional berasaskan maklum balas dan validasi lebih 1,200 majikan di Malaysia.
Pengiktirafan itu diumumkan dalam Majlis Pengiktirafan Talentbank Graduate Employability Index yang berlangsung di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur.
Menurut laporan Talentbank, pencapaian berkenaan mencerminkan tahap keyakinan tinggi industri terhadap graduan UPM dari segi kesediaan memasuki alam pekerjaan, kompetensi profesional serta prestasi di tempat kerja.
Lebih membanggakan, sebanyak 18 bidang pengajian UPM menerima penarafan tertinggi 6-Star Employer Choice, sekali gus menempatkan bidang berkenaan dalam kelompok lima terbaik di peringkat nasional berdasarkan penilaian majikan.
Antara bidang terlibat ialah aeroangkasa dan aeronautikal, pertanian, seni bina, bioteknologi, pengurusan perniagaan, kejuruteraan kimia, komunikasi dan penyiaran, sains komputer dan teknologi maklumat, ekonomi, pendidikan, pengurusan acara, sains makanan, sains kesihatan, bahasa, kejuruteraan mekanikal, kejururawatan, perhubungan awam dan sains.
UPM turut mencatat pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam bagi bidang pertanian, ekonomi dan sains makanan, selain mengekalkan kedudukan tersebut bagi bidang sains makanan selama lima tahun berturut-turut.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pengiktirafan itu membuktikan keberkesanan pendekatan universiti dalam memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah relevan dengan keperluan industri.
“Pengiktirafan ini adalah refleksi langsung keyakinan majikan terhadap kualiti graduan UPM.
“Kami sentiasa memastikan kurikulum, latihan industri dan pembangunan sahsiah pelajar selari dengan kehendak pasaran kerja sebenar,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian tersebut juga seiring dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan daya saing negara.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Dr. Hizmawati Madzin berkata, hubungan strategik dengan industri menjadi antara faktor utama kejayaan berkenaan.
“Kekuatan utama UPM terletak pada kolaborasi erat bersama industri. Melalui pendekatan berasaskan data dan validasi majikan, kami memastikan setiap program pengajian benar-benar menghasilkan graduan yang diyakini dan dikehendaki pasaran,” katanya.
Beliau menambah, penarafan enam bintang merentas pelbagai disiplin membuktikan kebolehpasaran graduan UPM bukan bersifat terhad, sebaliknya menyeluruh dan konsisten.
Pengiktirafan oleh Talentbank itu turut dilihat sebagai penanda aras penting dalam menilai kesepadanan antara latihan akademik universiti dengan keperluan sebenar industri, sekali gus mengukuhkan reputasi UPM sebagai institusi pilihan majikan di negara ini. – UTUSAN










