KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Thunderstars meletakkan sasaran tinggi untuk memburu gelaran treble musim ini dengan mempertaruhkan seramai 16 pemain berstatus kebangsaan, bermula dengan aksi Piala Sumbangsih menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sabtu ini.
Ketua jurulatihnya, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor menegaskan, skuad bimbingannya tidak mempunyai alasan untuk gagal memandangkan mereka dibarisi himpunan pemain terbaik negara.
“Selepas habis kelayakan (Piala Dunia) di Mesir, ramai pemain sertai pasukan. Tahun ini kita ambil 16 pemain yang berstatus pasukan kebangsaan.
“Pengurusan letak cabaran dan saya sahut. Pasti kita cuba untuk menang treble memandangkan kita ada pemain terbaik di Malaysia. Tak ada alasan untuk mereka tidak menunjukkan prestasi,” katanya.
Mengulas mengenai aksi pembuka tirai Liga Hoki Malaysia (MHL) menentang THT di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Batu Buruk, Madzli memaklumkan barisan pemainnya kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.
“Persiapan untuk perlawanan Sabtu ini, pemain sudah bersedia 100 peratus dan mereka akan tunjukkan karakter masing-masing di atas padang pada hari perlawanan,” katanya.
Mengikut peraturan pertandingan, hanya lapan pemain berstatus kebangsaan boleh diturunkan dalam satu-satu masa, namun Madzli tidak melihat perkara itu sebagai kelebihan mutlak buat pasukannya.
“Dalam TNB ada 16 pemain pasukan kebangsaan, tetapi lapan sahaja boleh diturunkan pada satu masa.
“Nak kata kelebihan itu tidak, sebab hoki ini kena berlari. Kalau berhenti berlari, pemain akan kalah. Itu yang saya selalu ingatkan pemain,” jelasnya.
Sebagai rekod, jumlah pemain kebangsaan dalam skuad TNB Thunderstars musim ini adalah yang tertinggi pernah dimiliki pasukan itu berbanding 12 pemain sebelum ini.










