PETALING JAYA: Pasangan No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil tunggal Malaysia dalam sektor beregu campuran yang berjaya meloloskan diri ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, hari ini.
Juara dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengetepikan Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India 21-13, 21-14 dalam masa 37 minit pada peringkat 16 terbaik.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan gandingan No. 1 negara itu semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas beregu No. 20 dunia itu kepada 3-0.
Pada suku akhir, esok, Tang Jie-Ee Wei bakal bertemu dengan pasangan ke-147 dunia, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong dari Korea Selatan.
Tang Jie-Ee Wei perlu berhati-hati berdepan Jae Hyeon-Ha Jeong yang mencipta kejutan besar ke atas beregu No. 10 dunia, Jafar Hidyatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia 23-21, 20-22, 21-10 dalam masa 1 jam 13 minit.
Pada pusingan awal, pasangan Korea Selatan itu menewaskan wakil negara yang menghuni ranking No. 24 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-14, 9-6 dalam masa 32 minit.
Ekoran kecederaan yang melanda Pang Ron, Jae Hyeon-Ha Jeong hanya perlu berjuang separuh jalan, tetapi, pasangan ‘giant killer’ itu mendominasi pertemuan tersebut.
Justeru, Tang Jie-Ee Wei perlu berhati-hati bagi mengelak mereka diaibkan dan perlu menyekat kemaraan beregu Korea Selatan itu bagi menempah slot ke separuh akhir.
Sementara itu, dua lagi beregu campuran Malaysia gagal mengikut jejak langkah Tang Jie-Ee Wei, apabila Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terkandas di peringkat 16 terbaik.
Soon Huat Shevon yang menghuni ranking No. 11 dunia dikejutkan gandingan ke-27 dunia, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin-Hui dari Taiwan 21-10, 15-21, 16-21 dalam masa 45 minit.
Gandingan ke-34 dunia, Tien Ci-Chiew Sien pula gagal menandingi beregu No. 7 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China 8-21, 14-21 dalam masa 33 minit.
Dalam saingan perseorangan wanita pula, K. Letshanaa yang menjadi satu-satunya wakil negara berjaya mara ke pusingan kedua bagi kategori tersebut turut kecundang di tangan pemain No. 19 dunia, Sim Yu Jin dari Korea Selatan 14-21, 8-21 dalam masa 33 minit. – UTUSAN










