PETALING JAYA: Gara-gara perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, penganjuran sukan bermotor di negara ini terasa tempiasnya ekoran kenaikkan harga petroleum yang mendadak.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, walaupun kalendar sukan bermotor kelihatannya berjalan seperti biasa, tetapi, mungkin ada perubahan terhadap jumlah acara sebagai langkah penjimatan petrol.
“Buat masa ini, kita masih belum ada sebarang maklum balas, tetapi, kebarangkalian penganjur mengurangkan acara itu tidak mustahil terjadi kerana mereka sudah tentu mahu cari jalan untuk mengurangkan kos tanpa menggunakan terlalu banyak petrol,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri Majlis MAM Santuni Anak-Anak Yatim Sempena Aidilftri di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Selangor, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau berkata, perlumbaan Super GT Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 20-21 Jun ini telahpun ditangguhkan.
“Masalah ini berlaku mungkin disebabkan isu logistik di mana peserta yang terlibat perlu berulang alik dari Jepun ke Malaysia dan Malaysia ke Jepun dengan menggunakan laluan perkapalan,” katanya.
Mokhzani memberitahu, Grand Prix (GP) Formula 1 Bahrain pada 10-12 April telahpun dibatalkan gara-gara perang yang melanda dan beliau berharap GP Motosikal Malaysia, hujung tahun ini, tidak turut terjejas.
“Kita akan pastikan perlumbaan MotoGP di Malaysia dapat berjalan seperti biasa,” katanya yang turut menyerahkan sepenuhnya isu lanjutan kontrak GP Malaysia kepada pihak SIC.
Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Jazeman Jaafar sebagai Bendahari MAM yang baharu, beliau berkata, pelumba profesional Malaysia itu mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada Datuk Razlan Razali yang melepaskan jawatannya, bulan lalu.
“Saya telah umumkan mengenai pengunduran Razlan dan Jazeman akan ambil alih. Razlan berbuat demikian kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan gimnasium beliau,” ujarnya.-UTUSAN







