Selangor, Kuching City terikat di MBPJ

Selangor, Kuching City terikat di MBPJ

PEMAIN Selangor, Faisal Haim (tengah), diasak pemain Kuching City, Rodney Celvin pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2026, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini hari ini.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC bernasib baik tidak pulang tangan kosong apabila penyerang importnya, Chrigor Moraes, muncul wira lewat permainan untuk mengikat Kuching City FC 1-1 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ), sebentar tadi.

Ketika perlawanan seakan memihak kepada pelawat, Moraes tampil menyelamatkan maruah Red Giants menerusi jaringan pada masa kecederaan hasil sentuhan kemas menyudahkan hantaran Syahir Bashah.

Keputusan itu menyaksikan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka menjelang aksi timbal balik pada 18 April ini, dengan Selangor kini berdepan misi getir memburu kemenangan di gelanggang lawan.

Terdahulu, anak buah Kim Pan-gon menguasai hampir keseluruhan permainan, namun gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang.

Sebaliknya, Kuching City yang dibimbing Aidil Sharin Sahak lebih berbahaya menerusi serangan balas pantas dan berjaya mencuri kelebihan menjelang rehat.

Gol pelawat hadir pada minit ke-41 apabila Ronald Ngah Wanja tenang menyempurnakan sepakan penalti, selepas dijatuhkan oleh Safuwan Baharudin dalam kotak penalti.

Selangor sebelum itu menyangka mereka sudah berada di depan menerusi jaringan Ahmad Zikri Khalili, namun VAR membatalkan gol berkenaan selepas Quentin Cheng dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki babak kedua, tekanan berterusan tuan rumah hampir membuahkan hasil, namun peluang keemasan gagal disudahkan oleh Jose Rodrigues dan Mukhairi Ajmal.

Ketika harapan kian pudar, Moraes muncul tepat pada waktunya untuk memastikan Selangor terus bernyawa dalam perebutan tiket ke final, sekali gus menjadikan pertembungan kedua nanti lebih terbuka dan mendebarkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN