Rekod lebur beri tamparan hebat buat JDT

Rekod lebur beri tamparan hebat buat JDT

PEMAIN JDT, Afiq Fazail diasak dua pertahanan Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelamarin.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz kecewa apabila hasrat menamatkan saingan liga dengan kemenangan 100 peratus musnah di laman sendiri setelah diikat Terengganu FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Menurut Munoz, kegagalan mengutip tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri itu bagaikan tamparan buat Harimau Selatan untuk bangkit bagi menghadapi perlawanan penting dalam sejarah kelab iaitu suku akhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), Jumaat ini.

Beliau akui jentera serangan JDT pada perlawanan itu kurang menjadi setelah serangan demi serangan yang digerakkan daripada pelbagai sudut gagal mencari gol kemenangan sehingga wisel penamat.

“Pasukan lawan bukan sahaja berdisplin membentuk benteng ampuh mengekang kemaraan JDT malah mampu menjana serangan balas dan berjaya mencari jalan untuk mencipta gol.

“Ini yang berlaku apabila gagal meletakkan pasukan di kedudukan selesa. Apapun, ini adalah pengajaran berguna untuk JDT dan kita harus memperbaiki kelemahan selain tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.

Dalam perlawanan itu, JDT terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Bergson da Silva pada minit ke-22 sebelum Ehson Panjshanbe menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Kali terakhir JDT gagal mengutip tiga mata penuh dalam saingan Liga Super adalah ketika menentang PDRM FC, 31 Julai 2024 yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.

Munoz berkata, tumpuan Harimau Selatan kini terarah kepada perlawanan suku akhir ACLE di Jeddah, Arab Saudi yang menuntut komitmen 100 peratus daripada setiap pemain.

“Ini merupakan perlawanan paling penting dalam sejarah kelab JDT dan kita merasa bangga mampu melangkah sejauh ini. Pastinya kita akan bermain bermati-matian bagi meraih keputusan yang positif.

“Selepas berakhir saingan ACLE, barulah kita mengalihkan tumpuan semula kepada saingan Liga Super yang berbaki tiga perlawanan lagi dan cuba menamatkan musim dengan rekod tanpa kalah,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN