PETALING JAYA: Perebutan tempat kedua saingan Liga Super musim ini semakin memuncak selepas Selangor FC sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Sabah FC di laman sendiri, kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan Selangor gagal mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga, sekali gus membuka ruang kepada dua pencabar terdekat iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kuching City FC untuk terus menghambat serta merapatkan jurang dalam perebutan posisi tersebut.
Dengan baki perlawanan kurang daripada lima, setiap mata kini menjadi amat berharga buat ketiga-tiga pasukan yang masih bersaing sengit bagi menamatkan musim di kedudukan lebih baik.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan situasi tersebut sebagai perkara biasa dalam kancah bola sepak berprestasi tinggi, terutama apabila musim menghampiri penghujungnya.
“Satu situasi yang biasa dilihat dalam bola sepak di tahap tertinggi sehinggakan baki saingan liga menjadi penentu.
“Situasi ini memerlukan pemain daripada setiap pasukan untuk memberikan aksi terbaik mereka hingga tamat liga malah para jurulatih perlu lebih kreatif dalam merencana taktikal pasukan masing-masing,” katanya.
Menurutnya, perkembangan seperti ini sememangnya baik untuk Liga Super kerana ia meningkatkan tahap persaingan serta menarik minat penyokong.
Bagaimanapun, Zulakbal menegaskan bahawa tahap persaingan seperti itu wajar dipertingkatkan supaya bukan hanya berlaku bagi kedudukan kedua liga, sebaliknya turut melibatkan perebutan kejuaraan utama.
“Perkembangan ini baik untuk liga tetapi ia perlu dipertingkatkan supaya persaingan seperti ini berlaku di kedudukan pendahulu liga dan bukannya tempat kedua sebab jangan biarkan JDT bermaharajalela terlalu lama,” katanya.
JDT sah dinobatkan juara Liga Super musim ini dengan lebih awal selepas menewaskan Brunei DPMM 3-0 pada Mac lalu sekali gus memenangi kejuaraan itu buat kali ke-12 berturut-turut.-UTUSAN










