BEIJING: Pengasas gergasi hartanah China, Xu Jiayin, mengaku bersalah atas tuduhan penipuan dan rasuah, menurut mahkamah pada Selasa, dalam satu lagi tamparan kepada Evergrande Group yang sebelum ini merupakan pemaju terkemuka negara itu.
Kejatuhan Evergrande berlaku selepas tempoh panjang pertumbuhan pesat didorong pembandaran pesat selama beberapa dekad dan peningkatan taraf hidup, sebelum akses kreditnya merosot mendadak pada 2020 susulan langkah kerajaan memperkenalkan sekatan ke atas pinjaman dan spekulasi berlebihan.
Syarikat itu kemudiannya gagal melunaskan hutang pada 2021 selepas berdepan kesukaran membayar balik pemiutang.
Xu, yang juga dikenali sebagai Hui Ka Yan, dilaporkan ditahan polis pada 2023, dengan Evergrande memaklumkan beliau dikenakan tindakan ‘kerana disyaki melakukan jenayah haram’.
Satu perbicaraan awam berlangsung pada Isnin dan Selasa melibatkan kes terhadap Xu atas pelbagai tuduhan termasuk mengutip deposit awam secara haram, penipuan pengumpulan dana, pemberian pinjaman secara tidak sah, penyalahgunaan dana, penerbitan sekuriti secara penipuan, pendedahan maklumat penting yang melanggar peraturan, pecah amanah serta rasuah korporat, menurut kenyataan mahkamah.
“Xu Jiayin mengaku bersalah dan menyatakan rasa kesal di mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Evergrande Group serta unit hartanahnya turut dibicarakan, dengan mahkamah memaklumkan keputusan akan diumumkan pada satu tarikh kemudian.- AFP










