PETALING JAYA: Petinju muda sensasi negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar mencuri tumpuan apabila melakar kemenangan knockout (KO) pertama dalam saingan Rajadamnern World Series (RWS), kelmarin.
Bertarung di stadium bersejarah Stadium Rajadamnern, Mikail yang mesra disapa Miki hanya memerlukan dua pusingan untuk menamatkan cabaran Thailand, Aekmongkol, sekali gus menghadiahkan satu lagi detik membanggakan buat kem muay thai negara.
Adik kepada jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar itu mempamerkan aksi agresif sejak awal pertarungan sebelum memastikan kemenangan mutlak menerusi KO pada pusingan kedua.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Miki membawa pulang bonus kemenangan berjumlah 50,000 Baht (kira-kira RM6,200), sekali gus menambah lagi seri kepada pencapaian peribadinya di pentas antarabangsa.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan kedua Miki di RWS selepas mencatat kemenangan pada aksi debut sebelum ini menerusi keputusan mata.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Elias Ghazali Zulfikar yang juga abang kepada Miki, terpaksa berpuas hati dengan keputusan kurang memihak kepadanya apabila tewas kepada wakil Thailand, Superchub Bangsaen menerusi kiraan mata dalam pertarungan berasingan.
Kebangkitan bintang muda seperti Miki dilihat mampu memberi nafas baharu kepada perkembangan sukan muay thai negara, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia di pentas antarabangsa.-UTUSAN










