Marquez ‘berperang’ dengan diri sendiri 

Marquez ‘berperang’ dengan diri sendiri 

MARC MARQUEZ - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEREZ: Juara dunia sembilan kali, Marc Marquez mengakui dirinya menjadi punca utama masalah prestasi pada pusingan awal perlumbaan MotoGP, musim ini.

Pelumba pasukan Ducati itu bertekad melakukan perubahan terhadap keadaan fizikalnya sepanjang tempoh rehat susulan penangguhan Grand Prix (GP) Qatar.

Pelumba Sepanyol itu berkata, sejak kembali daripada pembedahan bahu tahun lalu, dia masih belum mampu mengendalikan jentera Ducati secara optimum, khususnya ketika fasa awal perlumbaan yang menuntut kekuatan fizikal maksimum.

“Masalahnya bukan pada motosikal, tetapi pada diri saya sendiri. Ketika pusingan pertama dengan tayar baharu dan tangki penuh, motosikal menjadi lebih agresif dan saya belum mampu menunggang dengan baik dalam situasi itu.

“Saya seolah-olah berada dalam posisi yang bukan semula jadi di atas motosikal. Saya masih laju, tetapi tidak cukup untuk mencipta perbezaan,” katanya.

Marquez yang menamatkan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di tempat kelima walaupun berdepan penalti pusingan panjang, turut mengalami koyakan pada lengannya ketika sesi latihan bebas pertama (FP1), sekali gus menambah cabaran fizikal yang dihadapinya.

Katanya, fokus utama ketika ini bukan sekadar meningkatkan prestasi di litar, tetapi memahami dan memperbaiki keupayaan diri secara menyeluruh.

“Saya mahu melangkah lebih jauh ke dalam diri sendiri, bukan sekadar menunggang motosikal,” ujarnya.

Sebagai langkah awal, Marquez menjalani latihan intensif di Aragon minggu ini dengan memilih litar go-kart berbanding litar Grand Prix, menggunakan jentera Ducati Panigale V2 bagi mengasah semula teknik dan ketahanan fizikalnya.

Ketika ini, Marquez menghuni tangga kelima keseluruhan kejuaraan dunia dengan satu kemenangan Sprint, namun masih belum berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Grand Prix musim ini.

Aksi seterusnya bakal berlangsung di laman sendiri menerusi GP Sepanyol di Jerez dari 24 hingga 26 April ini.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN