PETALING JAYA: Keputusan memisahkan beregu badminton campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin merupakan satu keputusan tepat selepas pasangan No. 24 dunia itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan sejak tahun lalu lagi.
Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto sebelum ini telah pun memberi isyarat bahawa beliau akan memisahkan Pang Ron-Su Yin, jika mereka masih gagal keluar daripada kemerosotan prestasi dan kerap tersingkir di pusingan awal pada kejohanan yang disertai.
Selepas terkandas di pusingan pertama Kejohanan Asia di Ningbo, China, Rabu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula mengorak langkah dengan mengumumkan perpisahan beregu yang pernah menghuni ranking No. 13 dunia tersebut.
Susulan keputusan itu, Su Yin diumumkan akan berpasangan dengan Jimmy Wong yang kembali ke pangkuan BAM selepas pemain berusia 23 tahun itu berpisah dengan pasangannya, Lai Pei Jing.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, selepas setahun setengah membuat pemantauan dan menilai prestasi Pang Ron, pihaknya membuat keputusan memisahkan pemain itu dengan pasangannya, Su Yin.
“Keputusan ini dibuat bersama-sama dengan jurulatih, Nova apabila kami memutuskan untuk memisahkan pasangan itu dan menukarkan Su Yin bergandingan dengan pasangan baharu, Jimmy Wong,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Berikutan keputusan tersebut, pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, Pang Ron telah dilepaskan daripada skuad kebangsaan.
Ini bermakna anak muda berusia 28 tahun itu yang juga adik kepada bekas beregu wanita negara, Vivian Hoo akan meneruskan kariernya sebagai pemain profesional.
Pang Ron juga dikhabarkan bakal berganding bahu dengan pemain veteran, Pei Jing pula selepas ini.
Keputusan yang diambil BAM itu dilihat sebagai langkah proaktif bagi mengukuhkan kembali sektor beregu campuran yang terlalu bergantung dengan pencapaian juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Jimmy juga dilihat pasangan yang sesuai buat Su Yin, 22, dengan kelebihan fizikal dan pukulan smashnya yang tajam, selain, faktor usia mereka yang hanya dipisahkan setahun.
Malaysia Masters yang bakal berlangsung 19-24 Mei ini akan menjadi ujian pertama buat gandingan baharu tersebut, dengan Jimmy dijangka menyertai sesi latihan bersama ABM, minggu depan. – UTUSAN










