MILTON KEYNES: Pasukan Red Bull Racing mengakui mereka kini berada dalam mod serangan penuh selepas terpaksa menanggung kesan keputusan kritikal yang dibuat ketika perebutan kejuaraan Formula 1 musim lalu.
Ketua pasukannya, Laurent Mekies, menjelaskan pembangunan lewat jentera RB21 pada penghujung musim 2025 memberi impak kepada permulaan kempen baharu mereka.
Keputusan itu dibuat ketika Max Verstappen cuba mempertahankan gelaran dunia, namun akhirnya tewas tipis kepada Lando Norris dalam penentuan dramatik di Abu Dhabi.
“Kami fikir dan masih fikir ia adalah keputusan yang betul kerana kami tidak mahu sekadar mengharapkan musim baharu tanpa memahami sepenuhnya kelemahan jentera 2025
“Sudah tentu usaha dan tenaga yang dicurahkan pada penghujung musim lalu memberi kesan kepada permulaan kami, tetapi itu bukan alasan dan kami tidak akan bersembunyi di sebaliknya,” kata Mekies.
Permulaan musim 2026 menyaksikan Red Bull bergelut apabila hanya berada di tangga keenam kejuaraan pengeluar, manakala Verstappen sekadar menghuni kedudukan kelapan dengan 12 mata selepas tiga pusingan.
“Kami tidak gembira dengan kedudukan semasa, tetapi pasukan ini sudah biasa bangkit dan kami percaya mampu memahami kekangan serta memperbaiki prestasi dengan pantas.
“Kami bukan berada dalam mod peralihan, sebaliknya kini dalam mod serangan penuh dengan setiap jabatan di Milton Keynes bekerja keras untuk mengembalikan daya saing secepat mungkin,” katanya. – AGENSI










