Impian Selangor ke pentas Asia kian pudar

Impian Selangor ke pentas Asia kian pudar

REAKSI kecewa bintang Selangor FC, Faisal Halim selepas keputusan seri 1-1 dengan Sabah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, kelmarin.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor kini berada dalam situasi sukar untuk mempertahankan kedudukan naib juara Liga Super sekali gus mengesahkan slot ke saingan Asia musim depan selepas sekadar seri 1-1 menentang Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.

Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah tidak lagi memiliki kelebihan besar, malah perlu memenangi kesemua baki tiga perlawanan bagi memastikan peluang terus ada, selain perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain.

Selain wajib mengutip mata maksimum, Selangor kini turut berharap pencabar terdekat seperti Kuching City tercicir mata, apatah lagi pasukan itu masih mempunyai empat perlawanan dalam tangan yang memberi kelebihan besar dalam perebutan kedudukan naib juara liga.

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon nyata kecewa dengan keputusan itu dan mengakui Gergasi Merah tidak sepatutnya keciciran mata selepas mendahului satu gol di hadapan dalam perlawanan berkenaan.

“Saya sangat kecewa dan bagi pihak pasukan, saya memohon maaf kepada para penyokong. Kita tidak sepatutnya kehilangan mata, tetapi itulah yang berlaku malam ini.

“Kami sudah cuba, namun hakikatnya kami tidak layak untuk menang,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Selangor gagal mempertahankan kelebihan apabila skuad kendalian Juan Torres Garrido bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fergus Tierney tiga minit selepas Faisal Halim membuka tirai jaringan pada minit ke-31.

Mengulas corak permainan lawan, Pan Gon menyifatkan tindakan melambatkan permainan sebagai strategi, namun segalanya berpunca daripada kelemahan pasukannya sendiri.
“Secara strategik mereka mahu melambatkan permainan. Tetapi kami yang memberi mereka peluang untuk berbuat demikian.

“Jika kita menjaringkan gol awal dan terus mendahului, mereka tidak boleh melakukan perkara seperti itu,” ujarnya.

Tambahnya, situasi tersebut turut menjejaskan kualiti perlawanan, sekali gus mengecewakan penyokong yang hadir.

“Peminat datang untuk menonton bola sepak, tetapi masa permainan sebenar sangat rendah. Namun, ini tetap tanggungjawab kami.

“Peluang sangat tipis. Kita sepatutnya menang malam ini. Dengan baki beberapa perlawanan, kita perlu menang semuanya jika mahu terus bersaing merebut kedudukan naib juara liga,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN