PETALING JAYA: Juara bertahan, Muhammad Haiqal Hazim menepati jangkaan mara ke separuh akhir Kejohanan Squasy Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL di Kompleks Squasy Jalan Duta sini, hari ini.
Kemaraan pilihan pertama itu selepas dia menewaskan rakan senegara, Jayden Tan 11-1, 9-11, 11-6, 11-6 pada suku akhir.
Haikal berkata, dia berasa agak gementar beraksi pada perlawanan hari ini kerana ia merupakan kejohanan pertama selepas berakhirnya bulan Ramadan.
“Dalam perlawanan tadi, saya ambil masa untuk mencari rentak permainan saya, mungkin disebabkan saya gugup, tetapi mujur saya menang akhirnya”, kata Haikal ketika ditemui selepas perlawanan tamat di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pencabarnya pada separuh akhir, esok, Haikal berkata, dia akan berdepan seorang lagi rakan senegara, Bamotra Simarver Singh.
“Saya harap pada separuh akhir, saya dapat memperbaiki kesilapan saya terutama kelemahan pukulan kilas yang saya rasakan menjadi titik kekurangan pada aksi, hari ini,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perancangan bagi mempertahankan gelaran, anak kelahiran Kedah itu memberitahu, bukan muda untuk dia mengekalkan kemenangan tahun lalu, memandangkan ramai pemain lebih muda berbakat besar menyertai kejohanan tahun ini.
Sementara itu, dalam saingan perempuan Bawah-17 tahun, wakil Malaysia, Rui Jen Yek yang diletakkan sebagai pilihan pertama mudah membenam rakan seperjuangan, S. Lithiya 11-5, 11-4, 11-3 di suku akhir.
Para peringkat empat terbaik, Jen Yek akan bertemu rakan senegara, C. Sailajja yang turut menewaskan pemain Malaysia, Muyou Amber Kristy 11-13, 11-5, 11-4, 11-3 dalam satu lagi suku akhir. – UTUSAN










