PETALING JAYA: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyambut baik cadangan agar satu sesi perbincangan melibatkan semua pasukan Liga Malaysia diadakan segera bagi membincangkan isu kewangan yang membelenggu liga tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, berkata beliau tertarik dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, yang mendakwa mempunyai penyelesaian terhadap cabaran kewangan dalam Liga Malaysia.
Menurutnya, perkara itu wajar diperhalusi secara bersama kerana melibatkan kelangsungan dan kestabilan keseluruhan ekosistem bola sepak negara.
“Saya tertarik dengan kenyataan Dr. Johan Kamal bahawa beliau mempunyai penyelesaian kepada masalah kewangan dalam Liga Malaysia. Saya percaya kita wajar mengadakan sesi perbincangan ini bersama semua pasukan bagi mengetahui dan meneliti idea tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Johor Southern Tigers.
Luis turut menegaskan bahawa pengalaman luas dalam bola sepak antarabangsa wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk liga tempatan.
“Saya berbesar hati dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa serta bekerja dengan organisasi bertaraf dunia. Justeru, saya amat ingin mengetahui apakah penyelesaian yang dimiliki beliau berdasarkan pengalaman dan pengetahuan dalam bola sepak Malaysia dan antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau berharap sesi dialog bersama semua kelab dapat dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan isu kewangan Liga Malaysia dapat ditangani secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Sementara itu, Johor Darul Ta’zim FC menegaskan komitmen untuk terus menyokong sebarang inisiatif yang boleh memperkukuh tadbir urus dan kelestarian kewangan bola sepak negara.-UTUSAN










