BARCELONA: Pengendali Hansi Flick meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika Barcelona tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Camp Nou, semalam.
Menurut Flick, Barcelona sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti serta kelebihan seorang pemain selepas insiden bola terkena tangan melibatkan pertahanan Atletico, Marc Pubill, yang berlaku ketika fasa membina serangan selepas sepakan gol.
“VAR hari ini sangat fokus kepada Atletico, dia orang Jerman, jadi terima kasih Jerman. Bagi saya ini jelas kad merah.
“Dari pandangan saya ia jelas. Dia perlu memanggil pengadil untuk melihat semula, sama seperti sebelum ini. Saya tidak faham,” katanya.
Bagaimanapun, situasi berkenaan tidak dirujuk semula kepada pengadil oleh VAR, sekali gus mencetuskan kemarahan kem Barcelona yang berasakan keputusan itu berat sebelah.
Dalam masa sama, Barcelona terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan muda mereka, Pau Cubarsí, dilayangkan kad merah hasil semakan VAR susulan insiden kekasaran terhadap Giuliano Simeone pada separuh masa pertama.
Keadaan itu nyata menjejaskan rentak permainan skuad Catalan yang bergelut untuk bangkit menyaingi kelebihan dua gol tuan rumah.
Flick turut menyuarakan rasa hairan terhadap prosedur VAR yang menurutnya tidak konsisten, namun beliau enggan memanjangkan isu tersebut dan memilih untuk memberi fokus kepada aksi timbal balik.
“Kami perlu terima keputusan ini dan terus bergerak. Pasukan masih ada kualiti untuk bangkit,” katanya.-AGENSI










