WELLINGTON: New Zealand mengisytiharkan darurat di ibu negaranya, Wellington, selepas hujan lebat dan banjir kilat melanda Pulau Utara negara itu.
Rakaman yang tular dalam talian menunjukkan kenderaan ditenggelami air, pokok tumbang dan rumah dilanda tanah runtuh.
Datuk Bandar Wellington, Andrew Little berkata, bandar itu menerima rekod hujan 77 milimeter dalam tempoh kurang sejam pada Isnin.
Pihak berkuasa tempatan menasihatkan penduduk supaya kekal berlindung di rumah, dengan hujan dijangka berterusan untuk tempoh satu setengah hari lagi.
Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Wellington dibatalkan, manakala beberapa sekolah turut ditutup.
Lebih 12 penduduk dipindahkan, manakala seorang lelaki berusia 60 tahun dari kawasan Karori dilaporkan hilang. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan.
Siri banjir kilat itu berlaku kurang seminggu selepas Taufan Vaianu melanda Pulau Utara hujung minggu lalu.
“Cuaca buruk masih berterusan. Kami berdepan banjir, tanah runtuh dan pemindahan penduduk… Banjir kali ini cukup kuat sehingga mengalihkan kereta, dan banyak penutup lubang kumbahan tercabut,” kata Little dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Menteri Pengurusan Kecemasan dan Pemulihan, Mark Mitchell, berkata pihak berkuasa menjangkakan “cuaca paling buruk” akan berlaku lewat malam Isnin.
“Jika anda berada di wilayah Wellington, bersiap sedia. Jika anda bercadang untuk berpindah, buat keputusan lebih awal dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pejabat pengurusan kecemasan bagi wilayah Wellington menasihatkan penduduk supaya membatalkan atau menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah dilanda banjir, penduduk diminta mempertimbangkan untuk berpindah sementara ke rumah rakan atau ahli keluarga sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 jam akan datang.
Pejabat itu turut memaklumkan Misi Bandar Wellington dibuka bagi menempatkan mereka yang memerlukan perlindungan sementara.- BBC










