PETALING JAYA: Perluasan penggunaan biodiesel B100 berasaskan 100 peratus minyak sawit mentah (MSM) dilihat berupaya mengurangkan kebergantungan kepada diesel sekali gus meningkatkan pendapatan peneroka FELDA.
Inisiatif kerjasama antara FELDA dan FGV Holdings Berhad itu turut disifatkan sebagai langkah strategik bagi memastikan hasil titik peluh peneroka terus bernilai, selain membuka ruang peningkatan pendapatan secara lebih stabil.

Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Datuk Sulong Jamil Mohamad Shariff berkata, pelaksanaan B100 adalah langkah tepat dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Apabila minyak sawit digunakan secara meluas sebagai bahan api, ia membuka ruang permintaan yang lebih stabil.
“Ini secara langsung membantu meningkatkan pendapatan peneroka dan memberi jaminan ekonomi yang lebih kukuh kepada keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penggunaan B100 secara menyeluruh melibatkan kenderaan operasi, jentera ladang dan mekanisasi FELDA akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada diesel.
Menurutnya, ia sekali gus mengurangkan beban kos operasi dan tekanan kenaikan harga bahan api yang selama ini ditanggung peneroka.
“Ini bukan sekadar soal teknologi, ini soal kebajikan rakyat. Bila kos dapat dikawal dan hasil meningkat, kehidupan peneroka akan jadi lebih terjamin.
“Pelaksanaan B100 ini juga dijangka memberi impak positif kepada keseluruhan industri sawit negara.
“Ini sekali gus memastikan komoditi utama negara terus kukuh, stabil dan memberi manfaat kepada rantaian ekonomi dari ladang hingga ke peringkat nasional.
“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan untuk meletakkan kepentingan peneroka dan rakyat sebagai keutamaan, serta memastikan pembangunan ekonomi negara bergerak seiring dengan kesejahteraan komuniti luar bandar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, persatuan itu turut mencadangkan agar Koperasi Permodalan Felda dilantik sebagai pengedar tunggal B100, termasuk penyediaan kiosk khas di kawasan FELDA.
“Ia turut merangkumi pelaksanaan dan pengurusan melalui syarikat Koperasi Permodalan FELDA Berhad (KPF) yang berteraskan ekonomi hijau.
“Pendekatan ini akan memastikan pulangan ekonomi kembali kepada peneroka sebagai pencarum KPF, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi yang berpusar dan kekal dalam komuniti peneroka sendiri,” katanya.-UTUSAN










