PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin mencerahkan peluang mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada edisi lalu selepas mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, hari ini.
Pasangan No. 2 dunia itu mengekalkan rentak konsisten selepas membenam beregu muda tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 22-20, 21-19 dalam masa 43 minit di pusingan kedua.
Aaron-Wooi Yik yang belum pernah bertemu Ke Yuan-Xiang Yi di mana-mana kejohanan antarabangsa sedikit bergelut untuk menewaskan gandingan ke-37 dunia itu selepas dipaksa bekerja keras sehingga ketinggalan 16-18 dalam set pertama.
Pada suku akhir, esok, Aaron-Wooi Yik wajib minimumkan kesilapan mereka kerana lawan yang bakal ditemui kali ini jauh lebih handal dan berpengalaman iaitu beregu No. 22 dunia, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dari Korea Selatan.
Min Hyuk-Dong Ju mengejutkan pasangan No. 8 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-18, 19-21, 21-11 dalam masa 1 jam 1 minit.
Turut mara ke suku akhir, beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan 21-19, 19-21, 24-22 dalam masa 1 jam 7 minit.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah kini mendahului selesa ke atas gandingan No. 12 dunia itu dengan rekod pertemuan 3-0.
Pada pusingan seterusnya, Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan No. 9 dunia, Li Yi Jing-Luo Xu Min dari China.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi beregu muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang terpaksa akur kepada gandingan No. 7 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 18-21, 14-21 dalam masa 52 minit. – UTUSAN










