PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di landasan yang betul bagi mempertahankan gelaran selepas membenam gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, hari ini.
Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan straight set ke atas pasangan No. 12 dunia itu 21-15, 21-15 dalam masa 38 minit.
Pada peringkat 16 terbaik, esok, Aaron-Wooi Yik akan menghitung pertemuan sama ada beregu Hong Kong, Law Chieuk Him-Yeung Shing Choi atau wakil tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.
Bagaimanapun, jejak langkah beregu No. 1 Malaysia itu gagal diikuti tiga rakan senegara apabila wakil perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tunduk kepada lawan masing-masing.
Bagi Jun Hao yang menghuni ranking ke-23 dunia, dia gagal menyaingi rentak permainan bintang No. 4 dunia, Jonathan Christie dari Indonesia apabila tewas mudah 13-21, 8-21 dalam masa 36 minit.
Kegagalan Jun Hao itu meningkatkan kebimbangan menjelang Piala Thomas yang bermula, hujung bulan ini, di Horsens, Denmark selepas anak jati Kuala Lumpur itu gagal mempamerkan sebarang kemajuan kepada prestasi semasanya.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Pang Ron-Su Yin yang gagal menamatkan permainan pusingan pertama selepas mereka menarik diri sewaktu permainan berlangsung di set kedua.
Keputusan itu dibuat yang mungkin ekoran daripada masalah kecederaan telah memberi kemenangan kepada pasangan kurang ternama Korea Selatn, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong 21-14, 9-6 dalam masa 32 minit.
Dengan kegagalan tersebut, gandingan No. 24 dunia itu bakal berdepan risiko dipisahkan, selepas ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto ada menyatakan hasrat tersebut seandainya Pang Ron-Su Yin masih gagal menunjukkan sebarang perubahan dalam permainan mereka. – UTUSAN










