Zii Jia mara undian utama, tiga beregu ke pusingan kedua

Zii Jia mara undian utama, tiga beregu ke pusingan kedua

LEE Zii Jia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia melepasi halangan pusingan kelayakan setelah menewaskan dua pencabar, Minoru Koga dari Jepun dan wakil Denmark, Ditlev Jaeger Holm pada Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel, Switzerland, hari ini.

Zii Jia yang kini jatuh ke ranking No. 96 dunia terlebih dahulu melakar kemenangan straight set ke atas Koga yang berada di kedudukan ke-53 dunia 21-14, 21-10 dalam masa 27 minit.

Selepas itu, anak jati Kedah tersebut perlu mengharungi satu lagi perlawanan kelayakan bagi menempah slot ke undian utama dan dia berjaya mengetepikan Holm yang merupakan pemain ke-61 dunia 21-17, 19-21, 21-16 dalam masa 59 minit.

Untuk pertemuan peringkat 32 terbaik, Zii Jia yang pernah bergelar bintang No. 2 dunia bakal berdepan pemain No. 33 dunia, Jason Teh dari Singapura, esok.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki di peringkat 32 terbaik, gandingan muda, Kang Khai Xing-Aaron Tai menyingkirkan pasangan ke-34 dunia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dari Indonesia 21-19, 29-27 dalam masa 38 minit.

Pada pusingan kedua, Khamis ini, Khai Xing-Aaron yang menghuni ranking ke-27 dunia akan bertemu sama ada beregu Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi atau pasangan No. 18 dunia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia.

Turut mara ke peringkat seterusnya, satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang mengalahkan pasangan ke-28 dunia, Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat 21-15, 21-14 dalam masa 31 minit.

Beregu profesional itu bakal menentang sama ada Peeratchai-Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand atau wakil Jerman, Bjarne Geiss-Jones Ralfy Jansen dari Jerman.

Dalam pada itu, nasib berbeza menimpa beregu wanita Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tunduk kepada pasangan No. 10 dunia, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 15-21, 9-21 dalam masa 30 minit.

Kekalahan tersebut menyaksikan beregu muda negara itu tewas buat kali kedua berturut-turut kepada adik beredik Stoeva dengan rekod pertemuan kini menjadi 0-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN