Visi, misi Tunku Mahkota Ismail terus terbukti, JDT jinakkan Hiroshima di ACLE

Visi, misi Tunku Mahkota Ismail terus terbukti, JDT jinakkan Hiroshima di ACLE

PENYERANG JDT, Bergson melakukan rembatan ke gawang Sanfrecce Hiroshima pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ismail (SSI) malam tadi bukan sekadar sebuah keputusan perlawanan biasa.

Sebaliknya, keputusan itu menjadi gambaran jelas bagaimana visi besar yang dibawa pemilik kelab, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda telah mengubah wajah bola sepak Johor dan secara tidak langsung turut memberi impak kepada landskap bola sepak Malaysia.

Jaringan daripada Ager Aketxe, Bergson dan Marcos Guilherme di SSI memberikan kelebihan penting buat Harimau Selatan menjelang aksi timbal balik di Hiroshima. Namun, nilai sebenar kemenangan tersebut jauh melangkaui tiga gol yang terhasil di atas padang.

TUNKU Mahkota Ismail memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain JDT dalam bilik persalinan.-IHSAN
HRH Crown Prince of Johor

Sejak lebih sedekad lalu, TMJ sering menegaskan bahawa bola sepak Johor perlu berada pada tahap yang berbeza namun segelintir pihak menganggap kenyataan itu sekadar kata-kata penuh keyakinan daripada seorang pemilik kelab yang bercita-cita besar.

Namun perjalanan masa akhirnya membuktikan bahawa kata-kata itu bukan retorik semata-mata.

Hari ini, setiap perancangan yang pernah dilaungkan semakin menjadi realiti. JDT bukan sahaja terus menguasai pentas domestik, malah kini semakin kukuh membina reputasi sebagai kelab yang mampu bersaing dengan pasukan elit Asia.

Kejayaan menewaskan Sanfrecce Hiroshima iaitu kelab yang lahir daripada sistem bola sepak Jepun yang terkenal dengan disiplin tinggi serta kualiti permainan memberikan mesej jelas bahawa JDT kini berada di tahap yang berbeza.

Suasana di luar stadium pada malam perlawanan turut mencerminkan kekuatan sebenar JDT sebagai sebuah institusi bola sepak.

Ribuan penyokong berkumpul di sekitar SSI untuk memeriahkan majlis berbuka puasa sebelum sepak mula. Khemah-khemah didirikan bagi menampung kehadiran peminat yang datang beramai-ramai, mewujudkan suasana santai namun penuh semangat kebersamaan.

Dalam suasana tersebut, pentas bola sepak seakan berubah menjadi sebuah perhimpunan keluarga besar Johor yang disatukan oleh kecintaan terhadap pasukan Harimau Selatan.

Selepas wisel penamat ditiup, kegembiraan jelas terpancar di wajah penyokong dan ribuan peminat yang memakai jersi biru merah memenuhi lebuh raya ketika pulang ke pelbagai daerah di negeri itu.

Dari Johor Bahru hingga ke Kluang, Batu Pahat dan Segamat, perjalanan pulang mereka seolah-olah menjadi satu perarakan kemenangan yang panjang.

Hakikatnya, dominasi JDT dalam bola sepak tempatan sejak lebih sedekad lalu kini berada pada tahap yang sukar dinafikan.

Mengharapkan mereka tewas dalam Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia bukan lagi satu pendekatan realistik bagi kebanyakan pasukan lain.

Harimau Selatan kini berada beberapa langkah di hadapan dalam pelbagai aspek bermula daripada struktur kelab yang tersusun, pembangunan fasiliti bertaraf antarabangsa, pengurusan profesional sehinggalah kepada kualiti pemain yang dimiliki.

Lebih penting, kejayaan ini tidak dibina dalam tempoh singkat, ia adalah hasil perancangan jangka panjang yang dilaksanakan secara konsisten selama bertahun-tahun.

Kini bola sepak Malaysia mempunyai satu penanda aras yang jelas.

Persoalannya bukan lagi bagaimana untuk menunggu JDT jatuh, tetapi bagaimana pasukan lain mampu membina kekuatan sendiri untuk mengejar tahap yang telah ditetapkan oleh JDT.

Jika bola sepak negara mahu terus berkembang, lebih banyak kelab perlu berani mencontohi visi, disiplin dan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Tunku Mahkota Ismail serta pengurusan JDT.

Bagi penyokong JDT, malam kemenangan di pentas tertinggi kelab Asia di Iskandar Puteri itu bukan sekadar meraikan tiga gol ke atas Sanfrecce Hiroshima.

Ia adalah bukti bahawa mimpi besar yang pernah diungkapkan oleh Tunku Mahkota Ismail suatu ketika dahulu kini semakin hampir menjadi kenyataan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN