United bangkit, Spurs kian parah

United bangkit, Spurs kian parah

BENJAMIN SESKO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Benjamin Sesko muncul wira apabila meledak gol kemenangan untuk membantu Manchester United menewaskan Crystal Palace 2-1 sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Penyerang Slovenia itu diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas tujuh perlawanan sejak Michael Carrick mengambil alih tugas pengurus di Old Trafford tidak mensia-siakan peluang apabila menjaringkan gol ketujuh dalam lapan penampilan terakhirnya.

Palace terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan Maxence Lacroix hasil sepakan sudut Brennan Johnson selepas dia memenangi perebutan bola dengan Leny Yoro.

Bagaimanapun, kebangkitan United bermula sebelum sejam permainan apabila Lacroix dilayangkan kad merah kerana mengasari Matheus Cunha di dalam kotak penalti.

Fernandes kemudian mencipta gerakan gol kemenangan apabila hantaran lintangnya disudahkan dengan tandukan padu Sesko untuk memastikan United kekal tanpa kalah di bawah kendalian Carrick dengan kutipan 19 mata daripada tujuh perlawanan terakhir.

“Ia kemenangan besar buat kami. Kami ketinggalan dan perlu menunjukkan karakter sebenar,” kata Fernandes.

Sementara itu di Craven Cottage, nasib berbeza menimpa Tottenham Hotspur yang terus dibelenggu prestasi hambar selepas tewas 1-2 kepada Fulham.

Pengendali sementara Spurs, Igor Tudor mengakui pasukannya berdepan masalah besar selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut.

“Kami tidak cukup baik dalam semua aspek. Ada masalah besar dan kami perlu kekal bersatu untuk keluar daripada situasi ini,” katanya.

Gol Harry Wilson dan Alex Iwobi meletakkan Fulham selesa di depan sebelum Richarlison menjaringkan gol sagu hati lewat permainan.

Kekalahan itu menyaksikan Tottenham kekal hanya empat mata di atas zon penyingkiran dan menjadi satu-satunya pasukan liga yang masih gagal mencatat kemenangan pada tahun ini.

Dalam satu lagi aksi, Nottingham Forest tewas 1-2 kepada Brighton manakala pendahulu liga, Arsenal kini hanya dibezakan dua mata selepas Manchester City mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Leeds United. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN