KYIV: Sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh, konflik di Ukraine kini berubah menjadi peperangan berteknologi tinggi.
Ukraine kini memulakan program besar-besaran untuk mengerahkan robot bersenjata di darat.
Kenderaan darat tanpa pemandu (UGV), atau sistem robot darat seperti yang dikenali dalam istilah ketenteraan Ukraine, menunjukkan keberkesanannya untuk operasi pertempuran.
Terdapat laporan UGV berjaya menangkis serangan Russia dan bahkan menawan tentera musuh.
Malah, robot pembunuh Ukraine dan Russia juga dikatakan pernah bertempur tanpa kehadiran manusia di lokasi pertempuran.
Satu cara briged tersebut menggunakan robot itu adalah dengan memasang mesingan Kalashnikov di atasnya.
Pasukan itu juga menggunakan UGV kamikaze bertenaga bateri yang dipasang dengan bahan letupan untuk memusnahkan kedudukan dan tempat persembunyian musuh.
Berbeza dengan dron udara, UGV tidak mengeluarkan bunyi yang memberi amaran kepada musuh tentang serangan akan berlaku.
Dalam kebanyakan situasi di medan perang, UGV bersenjata dikawal dari jauh oleh operator melalui internet dari jarak selamat.
“UGV moden adalah separa-autonomi. Mereka boleh bergerak sendiri, memerhati dan mengesan musuh. Tetapi keputusan untuk menembak tetap dibuat oleh manusia, iaitu operator mereka.
“Robot boleh tersilap mengenal pasti sasaran atau menyerang orang awam. Itu sebabnya keputusan terakhir mesti dibuat oleh operator,” menurut timbalan komander Briged Mekanik Berasingan ke-33, Oleksandr Afanasiev.- BBC










