UK, Perancis hantar kapal perang ke Cyprus

UK, Perancis hantar kapal perang ke Cyprus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) menghantar kapal perang dan helikopter ke Cyprus ketika kebimbangan global terus meningkat berikutan serangan maut AS-Israel ke atas Iran dan serangan balas dilancarkan Teheran di seluruh rantau ini.

Kementerian Pertahanan UK memaklumkan menghantar kapal HMS Dragon ke Laut Mediterranean timur bersama dua helikopter Wildcat untuk memperkukuh pertahanan dron di Cyprus.

Menurut kenyataan kementerian, HMS Dragon, salah satu daripada enam kapal peronda pertahanan udara Type-45 Tentera Laut Diraja, dilengkapi dengan sistem peluru berpandu Sea Viper yang mampu menembak lapan peluru berpandu dalam masa kurang 10 saat dan mengawal sehingga 16 peluru berpandu secara serentak.

Dalam satu hantaran media sosial yang mengumumkan penempatan itu, Perdana Menteri UK, Keir Starmer berkata, negara itu sepenuhnya komited terhadap keselamatan Cyprus dan anggota tentera Britain yang ditempatkan di sana.

“Kami sentiasa akan bertindak demi kepentingan UK dan sekutu kami,” tulisnya di laman X.

Kemudian pada Selasa, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengarahkan kapal induk bertenaga nuklear Perancis, Charles de Gaulle bergerak dari Laut Baltik ke Mediterranean. Beliau berkata, kapal itu akan disertai oleh skuadron udara dan kapal peronda pengiringnya.

Dalam ucapan rakaman televisyen Perancis, Macron berkata, pesawat pejuang Rafale, sistem pertahanan udara dan sistem radar udara turut dikerahkan dalam beberapa jam terakhir di Asia Barat.

“Dan kami akan teruskan usaha ini selagi perlu,” kata Macron. Beliau merujuk kepada serangan pada Isnin ke atas pangkalan tentera udara Britain di Cyprus, sambil menambahCyprus dan Perancis baru-baru ini menandatangani perjanjian perkongsian strategik.

“Ini memerlukan sokongan kami. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk menghantar aset pertahanan udara tambahan ke sana, bersama sebuah kapal peronda Perancis, Languedoc, yang akan tiba di perairan Cyprus lewat petang ini,” kata Macron.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas kerajaan Cyprus dan Kementerian Pertahanan Britain menyatakan serangan mengejut dron buatan Iran menyasarkan pangkalan Tentera Udara Diraja di Akrotiri, barat daya bandar pesisir Limassol, Cyprus.

Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides berkata, sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) jenis Shahed menyebabkan kerosakan ringan apabila terhempas ke kemudahan tentera pada awal Isnin.

Jurukamera Al Jazeera, John Psaropoulos yang membuat liputan berhampiran lokasi kejadian berkata, kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan daripada rumah mereka ketika pihak berkuasa melaksanakan prosedur kecemasan.

“Tiada siren, tiada cara untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai serangan udara yang akan datang.

“Mereka sedang cuba menyusun semua pengangkutan yang ada, seperti bas perbandaran tempatan dan kenderaan lain untuk memindahkan orang sekiranya berlaku serangan udara lain,” katanya.

Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke beberapa negara di dan sekitar Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel, yang mula membedil negara itu pada Sabtu, di tengah-tengah usaha antarabangsa mencapai perjanjian mengenai program nuklear.

Serangan AS-Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 787 orang di Iran sejak konflik bermula, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, sementara pelbagai sasaran di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Kuwait dan negara lain telah disasarkan oleh Teheran.

Pasukan tentera Britain membantu menembak jatuh beberapa dron di seluruh rantau dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut Kementerian Pertahanan, termasuk di Jordan, Iraq dan Qatar.

Starmer pada mulanya enggan terlibat dalam perang AS-Israel dengan Iran, tetapi kemudian bersetuju dengan permintaan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump untuk menggunakan dua pangkalan tenteranya bagi tujuan pertahanan khusus dan terhad.

Pangkalan tersebut terletak di Gloucestershire, barat England, dan pangkalan UK-AS Diego Garcia di Lautan Hindi, dan Starmer menegaskan bahawa pangkalan Akrotiri di Cyprus tidak digunakan oleh pembom AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN