MADRID: Real Madrid dikenakan denda 15,000 euro (RM68,682) oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas seorang penyokongnya didapati melakukan tabik Nazi sebelum aksi Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.
UEFA dalam satu kenyataan memaklumkan badan disiplin mereka turut mengenakan penutupan sebahagian stadium melibatkan 500 tempat duduk terhadap kelab gergasi Sepanyol itu.
Bagaimanapun hukuman penutupan tempat duduk tersebut digantung selama setahun sebagai tempoh percubaan.
Menurut UEFA, tindakan itu diambil selepas penyokong Real melakukan tingkah laku bersifat perkauman dan diskriminasi ketika aksi timbal balik pusingan play-off menentang Benfica pada 25 Februari lalu.
Insiden tersebut berlaku sebelum sepak mula apabila seorang penyokong dirakam kamera melakukan tabik Nazi di tempat duduk penonton.
Real Madrid kemudian bertindak pantas dengan mengeluarkan penyokong terbabit dari stadium sejurus selepas insiden itu dikesan.
Perlawanan tersebut turut diselubungi kontroversi apabila pemain sayap Real, Vinicius Junior mendakwa menjadi sasaran kata-kata berunsur perkauman daripada pemain Benfica, Gianluca Prestianni.
Meskipun dicemari kontroversi, Real tetap mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dan dijadual berdepan Manchester City. – AGENSI










