PETALING JAYA: Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan mengingatkan skuad negara agar tidak terlalu mendabik dada dengan status tuan rumah menjelang Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Mei ini.
Menurutnya, kelebihan beraksi di laman sendiri bukan jaminan mudah buat Malaysia kerana saingan antarabangsa kini semakin terbuka dengan kebangkitan beberapa negara baharu dalam sukan tradisi itu.
“Memang fokus utama kita adalah Piala Dunia pada Mei nanti kerana ia kejohanan besar selepas Sukan Asia dan sudah pasti ramai peminat mahu melihat sama ada kita mampu mengekalkan prestasi serta konsisten untuk muncul juara.
“Walaupun kita bermain di Kuala Lumpur dan ada kelebihan sebagai tuan rumah, dalam masa sama ia juga memberi cabaran besar terutama untuk mempertahankan kejuaraan dalam acara regu dan berpasukan serta mengekalkan momentum dalam acara quadran,” kata Sumali.
Sebanyak 26 negara dijangka mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 24 Mei ini dengan Stadium Titiwangsa sekali lagi dipilih sebagai venue selepas turut menganjurkan Piala Asia tahun lalu dan Piala Dunia 2024.
Dalam pada itu, Sumali berkata perkembangan pesat beberapa negara dalam sukan sepak takraw ketika ini menjadikan persaingan semakin terbuka sekali gus menuntut skuad negara supaya tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi.
“Dalam acara kuadran, persaingan sekarang sangat terbuka kerana banyak negara sudah mula kuat seperti India, Jepun, Korea dan Myanmar, malah Vietnam juga semakin meningkat dalam acara regu,” katanya.-UTUSAN










