WOLVERHAMPTON: Pengurus Liverpool, Arne Slot menggesa anak buahnya segera memperbaiki kelemahan melepaskan gol pada lewat permainan selepas kekalahan memalukan 1-2 kepada Wolves, semalam.
Kekalahan di Molineux itu menyaksikan The Reds terus dihimpit krisis prestasi sekali gus menjejaskan usaha mereka untuk menyelamatkan musim yang kian suram.
Liverpool terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Rodrigo Gomes pada minit ke-78 sebelum Mohamed Salah menyamakan kedudukan untuk menghidupkan peluang sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Bagaimanapun, kelekaan di penghujung perlawanan sekali lagi menghukum pasukan pelawat apabila rembatan Andre yang terkena pertahanan The Reds menewaskan penjaga gol, Alisson Becker.
Statistik membuktikan betapa meruncingnya masalah tersebut apabila Liverpool sudah lima kali tewas akibat bolos pada minit ke-90 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, jumlah tertinggi pernah direkodkan oleh mana-mana pasukan dalam satu musim.
Slot yang membelanjakan kira-kira 450 juta pound (RM2.3 bilion) bagi memperkukuh skuad musim ini mengakui keputusan itu sukar diterima.
“Kami tidak memberi banyak peluang kepada lawan malah mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka. Namun akhirnya kami tetap tewas 1-2.
“Kami terlalu banyak kehilangan mata dan sekali lagi bolos pada masa tambahan. Tiga kekalahan dalam 22 perlawanan terakhir semuanya berlaku pada waktu kecederaan,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kini berada di tangga kelima liga sekali gus membuka peluang kepada Chelsea untuk memintas mereka jika mencatat kemenangan dalam aksi berikutnya.
Slot turut mengakui persembahan hambar pada separuh masa pertama menjadi antara punca kekalahan.
“Separuh masa pertama tidak baik. Kami lebih bersemangat pada babak kedua dan hampir menjaringkan gol kemenangan.
“Namun kami dihukum dengan jaringan hasil situasi yang sebenarnya bukan peluang berbahaya,” ujarnya. – AFP










