PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek para negara meraih dua pingat emas dalam acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 di Tagaytay, Filipina, hari ini.
Emas pertama hadir dalam kategori C1 apabila Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menewaskan pelumba Arab Saudi, Abas Alhashim pada aksi final dengan catatan masa 15.685 saat (s).
Hafizi menguasai perlumbaan tersebut dengan kelebihan selesa apabila meninggalkan lawannya sejauh 7.557s untuk mengesahkan kemenangan.
Pingat gangsa kategori C1 menjadi milik pelumba Korea Selatan, Seok Hojin yang melengkapkan kedudukan podium.
Dalam kategori C5, Ahmad Zharif Ahmad Nazri melengkapkan kejayaan berganda negara apabila menjuarai final sesama sendiri dengan catatan masa 11.496s.
Zharif menewaskan rakan senegara, Zuhairie Ahmad Tarmizi yang meraih pingat perak selepas ketinggalan 0.202s di belakangnya.
Pingat gangsa kategori C5 pula dimenangi pelumba Jepun, Kameda Ruito yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan perbezaan 0.970s. – UTUSAN











