KUALA LUMPUR: Pemilik Syarikat produksi, Skop Production Sdn. Bhd., Datuk Yusuf Haslam, mendedahkan perancangan menggandingkan dua selebriti popular, Nur Fazura dan Que Haidar, dalam sebuah filem terbaharu.
Menurut Yusuf atau Mohd Yusof Md. Haslam Khan, 71, tawaran tersebut telah disampaikan secara bersemuka kepada kedua-dua pelakon berkenaan ketika majlis tayangan filem Malaikat Malam, semalam.
“Saya bercadang mengambil Que Haidar untuk berlakon dalam filem akan datang dan menggandingkannya dengan Fazura, yang kini rapat dengannya.
“Buat masa ini, saya belum boleh berkongsi judul atau perincian lanjut, namun filem itu akan diarahkan oleh Syafiq Yusof,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Yusuf, perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat sebelum penggambaran dijangka bermula pada hujung tahun ini.
“Saya baru bertemu mereka di majlis tayangan perdana dan menyampaikan hasrat untuk menawarkan watak dalam filem tersebut. Reaksi mereka positif dan terbuka untuk perbincangan lanjut.
“Walaupun belum dimuktamadkan, saya yakin mereka akan mempertimbangkan tawaran ini. Tambahan pula, kedua-duanya sudah lama tidak muncul dalam naskhah filem.
“Insya-Allah, perancangan kami adalah untuk memulakan penggambaran pada hujung tahun ini. Skrip dan persiapan awal telah dilakukan, namun sebahagian besar masih dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu, Que Haidar membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan selepas tempoh hiatus menerusi watak Arash dalam filem Malaikat Malam.
Selain Que, filem arahan Nazifdin Nasrudin itu turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Kodi Rasheed dan Riezman Khuzaimi. -UTUSAN











