BAGHDAD: Serangan dron menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan minyak di Iraq pada Jumaat, manakala tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh beberapa dron di atas bandar Erbil di wilayah Kurdistan selepas amaran kemungkinan serangan ke atas hotel.
Serangan baharu yang dipersalahkan ke atas Iran turut menyasarkan kumpulan pembangkang Kurdish Iran di wilayah Kurdistan di utara Iraq, susulan laporan militan mungkin cuba menyeberangi sempadan ke Iran.
Lewat Jumaat, Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad yang menempatkan pangkalan tentera serta kemudahan diplomatik AS dilaporkan diserang beberapa dron dan peluru berpandu, kata seorang pegawai keselamatan kepada AFP.
Satu lagi sumber keselamatan mengesahkan terdapat serangan dron yang mencetuskan kebakaran di lapangan terbang berkenaan.
Beberapa jam sebelum itu, pihak berkuasa Iraq memaklumkan roket turut menyasarkan kemudahan itu dari kawasan Abu Ghraib berhampiran Baghdad, sambil menambah pasukan keselamatan kemudian merampas sebuah kenderaan yang membawa baki roket.
Di wilayah selatan Basra, sebuah kemudahan minyak yang menempatkan syarikat tenaga asing turut diserang sebanyak dua kali.
Seorang pegawai keselamatan di Basra berkata lewat Jumaat bahawa dua dron berjaya ditembak jatuh di kompleks minyak Burjesia, namun satu lagi berjaya menembusi pertahanan dan mengenai sasaran.
Terdahulu, kemudahan itu turut diserang bersama sebuah lagi medan minyak serta lapangan terbang Basra, menurut sumber keselamatan.
Iraq yang sekian lama menjadi medan persaingan proksi antara AS dan Iran menegaskan tidak mahu terheret ke dalam perang yang sedang melanda Asia Barat, namun negara itu tetap tidak terlepas daripada kesan konflik tersebut.
Sejak awal lagi, Iraq sudah terlibat secara tidak langsung apabila serangan yang dipersalahkan kepada AS dan Israel menyasarkan kumpulan bersenjata yang disokong Iran di negara itu.
Kumpulan berkenaan sebelum ini berikrar tidak akan berkecuali dan mendakwa melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera AS di Iraq serta di beberapa lokasi lain di rantau itu.
Wilayah autonomi wilayah Kurdistan di utara Iraq yang menempatkan tentera AS menjadi antara sasaran utama serangan.
Beberapa letupan turut dilaporkan kedengaran berhampiran lapangan terbang di ibu kota wilayah itu, Erbil, lokasi di mana gabungan tentera pimpinan AS berulang kali memintas dron.
Pasukan keselamatan Kurdish berkata, pasukan gabungan antarabangsa berjaya menembak jatuh empat dron sarat bahan letupan di ruang udara Erbil.
Menurut mereka, serpihan daripada salah satu dron yang ditembak jatuh itu jatuh berhampiran sebuah hotel, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Terdahulu, AS memberi amaran bahawa pejuang yang disokong Iran mungkin menyasarkan hotel di Kurdistan yang sering dikunjungi warga asing.










