Saya juga mangsa syaitan bertopengkan manusia - Aedy Ashraf - Utusan Malaysia

Saya juga mangsa syaitan bertopengkan manusia – Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Aedy Ashraf mendedahkan pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang dianggap sebagai abang sendiri.

Mendedahkan perkara itu Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 31, menyifatkan pelaku tersebut sebagai ‘syaitan bertopengkan manusia’ kerana sanggup mengambil kesempatan terhadapnya ketika dia baru berusia 10 tahun.

Tambahnya, individu berkenaan merupakan seorang lelaki yang sangat dipercayai oleh dia dan ibunya, malah sering memberi hadiah setiap kali tiba ulang tahun kelahirannya.

“Saya masih ingat hadiah terakhir yang dia berikan ialah sehelai jersi Manchester United. Disebabkan memori hitam itu, itulah punca kenapa saya tidak menyukai pasukan tersebut sehingga ke hari ini,” katanya mnenerusi podcast Kita Kita Aje bersama Pak Nil.

Menceritakan kronologi kejadian, Aedy berkata insiden berlaku sewaktu dia sedang terlibat dalam penggambaran drama. Individu tersebut yang bertanggungjawab menghantar dan mengambilnya dari lokasi penggambaran telah memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu tidur sebentar kerana mengantuk.

“Sebagai kanak-kanak, saya okay sahaja sebab saya anggap dia macam abang. Namun, tiba-tiba tangannya mula merayap pada badan saya.

“Waktu itu saya sangat keliru dan takut. Saya tidak tahu sama ada perlu lari atau menjerit. Saya bangun dalam keadaan panik dan sangat takut,” kongsinya lagi.

Tambah Aedy, menyedari tindakannya mula menimbulkan reaksi ketakutan, pelaku cuba memujuknya dengan menawarkan untuk membelikan beg baharu di sebuah pusat beli-belah.

“Ketika di sana, saya hanya mahu pulang kepada ibu. Secara kebetulan, bapa saudara saya bekerja di kawasan berhampiran (TTDI), jadi saya menghantar mesej kepadanya untuk menjemput saya kerana terlalu takut. Bapa saudara saya itu baru sahaja meninggal dunia dua bulan lalu,” ujarnya.

Sekembalinya ke rumah, Aedy segera menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya yang kemudiannya memberikan reaksi marah yang amat sangat terhadap tindakan lelaki berkenaan.

Walaupun peristiwa itu meninggalkan kesan trauma yang mendalam, Aedy menjelaskan bahawa dia memilih untuk memaafkan pelaku demi meneruskan kelangsungan hidup tanpa dibelenggu sejarah hitam.

“Trauma itu ada, cuma sampai bila saya mahu biarkan ia menghalang hidup saya? Cara terbaik bagi saya adalah dengan memaafkan. Saya ada berjumpa dengannya sekarang, tapi apa yang saya boleh buat?

“Saya berkongsi perkara ini kerana saya tahu di luar sana, ramai kanak-kanak yang mengalami nasib sama tetapi memilih untuk berdiam diri. Itu bukan perkara yang baik untuk dilakukan. Jangan simpan sendiri, carilah bantuan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN