MOSCOW: Russia dilaporkan membantu Iran dengan memberikan maklumat risikan kepada Teheran mengenai lokasi pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, termasuk kedudukan kapal perang dan pesawat.
Maklumat itu dipercayai membantu Iran dalam melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap pangkalan tentera AS dan aset lain di rantau itu, lapor NBC News.
Menurut beberapa pegawai yang mengetahui maklumat tersebut, bantuan perisikan daripada Russia boleh membantu Iran mengesan kapal perang AS, radar atau sistem komunikasi lain, namun tiada petunjuk Moscow membantu mengarah serangan peluru berpandu atau dron.
Iran mula melancarkan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan AS serta sasaran lain selepas Washington dan Israel memulakan pencerobohan minggu lalu.
Keputusan Russia memberikan data daripada satelit dan maklumat perisikan lain kepada Iran menekankan impak geopolitik yang semakin meluas akibat perang serta berpotensi menimbulkan risiko kepada kapal, pesawat dan pangkalan AS di rantau berkenaan.
The Washington Post merupakan media pertama melaporkan mengenai bantuan risikan Russia kepada Iran.
Dalam sesi meja bulat Presiden AS di Rumah Putih kelmarin, Trump dengan tegas enggan menjawab soalan seorang wartawan Fox News mengenai dakwaan itu.
“Itu masalah mudah berbanding apa yang kita lakukan di sini. Betapa bodohnya soalan itu ditanya pada waktu ini,” kata Trump.
Pakar kerjasama Russia-Iran di Pusat Pengajian Antarabangsa di Paris, Nicole Grajewski berkata, Iran mempunyai sejumlah kecil satelit ketenteraan, tetapi Russia boleh menggunakan rangkaian satelit serta data lebih luas untuk memberikan maklumat mengenai AS dengan tepat dan cepat kepada Teheran.
Katanya, serangan udara Iran kini kelihatan tepat berbanding perang 12 hari dengan Israel pada Jun lalu, menunjukkan Teheran menerima maklumat risikan yang lebih baik.
Taktik Iran juga menyerupai kempen udara Russia dalam perang dengan Ukraine, dengan kawanan dron menyerang infrastruktur diikuti serangan peluru berpandu balistik, kata Grajewski.










