WASHINGTON: Rumah Putih menegaskan tentera Amerika Syarikat (AS) masih belum mengiringi mana-mana kapal komersial melalui Selat Hormuz.
Kenyataan itu dibuat Ketua Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada wartawa semalam sejurus selepas Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright memadam satu hantaran di platform X yang mendakwa Tentera Laut AS berjaya mengiringi sebuah kapal tangki minyak melalui laluan perairan penting itu.
Perang AS-Israel terhadap Iran secara berkesan menghentikan penghantaran melalui Selat Hormuz di sepanjang pantai Iran, laluan yang biasanya dilalui kira-kira satu perlima bekalan minyak global dan gas asli cecair (LNG).
Pengeluar minyak Asia Barat pula dilaporkan kehabisan kapasiti penyimpanan dan menghentikan pengeluaran.
Presiden AS, Donald Trump pada 3 Mac berkata, Washington akan menyediakan perlindungan kepada kapal tangki minyak yang melalui selat itu.
Semalam, Pentagon sekali lagi mengancam untuk meningkatkan serangan terhadap Iran sekiranya penghantaran tidak dapat disambung semula, sambil menyatkan pihaknya sedang menyerang kapal peletak periuk api Iran serta kemudahan penyimpanan periuk api milik negara itu.
Wright kemudian memuat naik hantaran di X mendakwa Tentera Laut AS mengiringi sebuah kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz bagi memastikan bekaan terus mengalir ke pasaran global.
Tidak lama selepas itu, beliau memadamkan hantaran tersebut atas sebab yang tidak dijelaskan.
“Sebarang pergerakan armada AS dan sekutunya akan dihentikan oleh peluru berpandu serta dron kami,” kata Ali Mohammad Naini dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan Iran.
Sebelum ini, pegawai tertinggi tentera AS berkata pihaknya sudah mula meneliti cara berpotensi untuk mengiringi kapal melalui Selat Hormuz sekiranya diarahkan berbuat demikian.
“Kami sedang menilai pelbagai pilihan,” kata Jeneral Dan Caine kepada wartawan di Pentagon semalam.- AGENSI










